SEREMBAN: Sebanyak 3,044 notis pelbagai kesalahan dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan sepanjang Operasi Khas Hari Raya Aidiladha (Op HRAA) 2025 yang dilaksanakan bermula 4 Jun hingga 10 Jun ini.
Pengarahnya Hanif Yusabra Yusuf berkata menerusi operasi itu sejumlah 8,437 kenderaan diperiksa dan 1,342 kenderaan dikenakan tindakan.
Sebanyak 2,191 notis JPJ (P) 22 dikeluarkan, menjadikannya jumlah tertinggi, diikuti oleh 333 notis temu siasat di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, sejumlah 216 notis arahan pemeriksaan dikeluarkan, disusuli notis larangan penggunaan kenderaan (160), notis arahan penimbangan (45), dan notis lain-lain kesalahan (92) manakala notis Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) sebanyak tujuh.
“Bagi kesalahan berdasarkan kategori pula, sebanyak 973 kesalahan membabitkan pelesenan kenderaan direkodkan, diikuti pelesenan pemandu (680), isu berkaitan teknikal (625), kesalahan utama (371), lain-lain kesalahan (269) dan kesalahan barangan (125),“ katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Antara kesalahan utama dikesan termasuk tidak patuh lampu isyarat sebanyak 121 kes, tidak memakai tali pinggang keledar (83), memandu kenderaan berat di lorong laju (60), memandu di lorong kecemasan (32), tidak memakai topi keledar (27), memotong barisan (23), menggunakan telefon bimbit (19) dan memotong di garisan berkembar (enam).
Beliau berkata sebanyak 75 kenderaan disita, manakala 97 notis dikeluarkan kepada pemandu warga asing atas pelbagai kesalahan.