Peluasan SST ke atas buah import langkah proaktif lindungi industri tempatan - pengusaha

PONTIAN: Peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) merangkumi cukai jualan sebanyak lima peratus ke atas semua buah import disifatkan pengusaha nanas Johor sebagai langkah proaktif bagi melindungi industri buah-buahan tempatan.

Mohammad Anal Talhah, 53, berkata langkah itu akan mendorong peralihan serta lonjakan permintaan buah-buahan tempatan termasuk nanas, khususnya bagi varieti premium MD2 yang banyak diusahakan secara komersial.

Pada masa sama, katanya, langkah itu juga memberi ‘isyarat’ kepada pengusaha untuk meningkatkan keluasan tanaman bagi memenuhi permintaan, sekali gus mendorong lebih ramai anak muda menceburi bidang pertanian.

“Saya tidak fikir kalau lebih ramai penanam, permintaan berkurangan...sebenarnya permintaan nanas ini tak pernah cukup dan sentiasa ada.

“Cuma bila bersaing dengan harga buah import, itu akan menjejaskan sikit buah tempatan,” katanya ketika ditemui Bernama di kebun nanas miliknya di Kampung Parit Haji Osman di sini.

Berpengalaman lebih 30 tahun dalam industri nanas, Mohammad Anal yang sebelum ini hanya memiliki 0.4 hektar tanaman nanas dan kini mencecah 94 hektar berkata beliau turut mengeksport nanas ke luar negara seperti Singapura dan turut dikenakan cukai di negara itu.

“Mereka kenakan (cukai) kepada kita jadi kenapa pula kita tidak kenakan tindakan sama?” katanya yang turut mengakui tidak menang tangan dalam usaha memenuhi permintaan buah nanas dari dalam dan luar negara.

Johor merupakan negeri pengeluar nanas terbesar di Malaysia dengan keluasan tanaman mencecah 10,366.6 hektar dan pengeluaran sebanyak 280,878 metrik tan.

Jumlah itu mewakili 63.7 peratus daripada keseluruhan pengeluaran nanas negara yang bernilai RM682.53 juta.

Daripada jumlah keseluruhan 18,275.71 hektar tanaman nanas di Malaysia, lebih 10,000 hektar bertumpu di Johor dengan daerah Kluang dan Pontian mendominasi pengeluaran.

Sementara itu, pengusaha nanas jenis Morris dan Josapine dari Kampung Parit Haji Alias di sini, Ariffin Ali, 51, berkata langkah kerajaan dalam skop peluasan SST ke atas buah import itu juga dapat menggalakkan pengguna beralih kepada buah-buahan tempatan yang lebih berpatutan harganya.

Inisiatif itu juga mampu meletakkan hasil tempatan pada kedudukan yang lebih kompetitif dari segi harga sekali gus memberi manfaat kepada golongan petani dan peladang.

“Bagi saya, ini waktu yang sesuai untuk pelaksanaan SST terbabit. Selain menggalakkan penggunaan barangan tempatan, ia juga dilihat mampu membantu petani, peladang dan penanam buah-buahan dalam memastikan hasil mereka mendapat tempat di pasaran tempatan,” katanya.

Pengusaha nanas MD2 seluas 16 hektar di Batu Pahat, Firdaus Sapari, 39, menyifatkan peluasan skop SST itu mampu membantu pengusaha buah tempatan untuk bernafas semula sekiranya permintaan bagi buah tempatan meningkat.

Katanya, pada masa ini, pengusaha buah tempatan, termasuk nanas menjual produk mereka pada harga yang ditetapkan setelah mengambil kira input pertanian seperti baja, serta kos lain yang perlu ditanggung seperti sewaan tanah dan upah pekerja.

Namun apabila buah import masuk dan dijual pada harga rendah, ia menyebabkan pengguna beralih arah, sekali gus menyebabkan pekebun buah berputus asa apabila berdepan kesukaran meneruskan rutin penjagaan tanaman kerana peningkatan kos operasi dan ketidakstabilan pasaran.

Sementara itu Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) Sheikh Umar Bagharib Ali berkata peluasan skop SST harus dilihat dari sudut positif yang bersifat melindungi industri buah-buahan tempatan apabila memberi alternatif kepada pengguna untuk mengutamakan produk tempatan.

“Saya difahamkan di negara jiran ada dasar yang lebih kurang serupa untuk mereka lindungi industri pertanian di negara mereka sendiri iaitu mengenakan cukai tinggi terhadap buah dan produk agrikultur dari luar untuk mereka membangunkan dan menyiapkan pertanian di peringkat negara mereka sendiri,” katanya.

Katanya, apabila SST dikenakan ke atas buah import, pengguna akan lebih memilih buah tempatan berikutan harganya lebih rendah yang dapat menjadi pemangkin pengusaha pekebun kecil untuk memperluaskan tanaman bagi meningkatkan produktiviti.

Sheikh Umar Bagharib berkata perkembangan positif ini juga akan mewujudkan kesan berganda dengan merangsang sektor hiliran seperti pemprosesan jus nanas, produk snek dan kosmetik berasaskan nanas yang bukan sahaja mencipta peluang pekerjaan, bahkan menambah nilai eksport negara.

“Data Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) menyasarkan pekebun nanas boleh peroleh pendapatan RM5,000 sebulan namun pada akhir RMK-11 lebih 70 peratus mencapai lebih (pendapatan).

“Manakala menerusi RMK-12 sasaran pendapatan pekebun nanas sebanyak RM8,000 sebulan, tapi data tidak rasmi menunjukkan (ada yang meraih pendapatan) lebih RM8,000 dan ada yang cecah RM10,000,” katanya.

Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST). Gambar: THESUNPHOTO