• 2025-07-19 05:27 PM

KUALA NERUS: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang memperincikan beberapa tindakan susulan berikutan laporan awal nahas bas yang mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bulan lepas.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, berkata tindakan itu termasuk pembatalan permit syarikat bas terlibat.

“Kita sedang perincikan dan telah ambil tindakan bersama Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dengan membatalkan permit syarikat bas. Ada beberapa perkara lagi yang akan diambil tindakan,“ katanya selepas majlis penyerahan lesen memandu di sini hari ini.

Beliau menegaskan bahawa tindakan terhadap pemandu bas sedang diproses di mahkamah, dan JPJ tidak akan campur tangan dalam hal tersebut. “Sekiranya berlaku kemalangan maut yang melibatkan pemandu, tindakan akan diambil oleh PDRM dan mahkamah,“ jelasnya.

Laporan awal nahas itu mendapati kelajuan bas melebihi dua kali ganda had laju yang ditetapkan sebagai antara punca kemalangan. Selain itu, laporan tersebut turut mendedahkan kelemahan sistemik dalam tadbir urus industri pengangkutan.

Pada 9 Jun lalu, sebuah bas membawa 42 pelajar UPSI terbabit dalam kemalangan maut di Jalan Raya Timur-Barat berhampiran Tasik Banding, Gerik. Tragedi itu turut melibatkan sebuah MPV Perodua Alza dan meragut 15 nyawa pelajar.

Sementara itu, JPJ telah mengeluarkan 1,274 notis kompaun dalam Ops Khas Pemakaian Tali Pinggang Keledar sejak 1 Julai. Daripada jumlah itu, 1,000 notis dikeluarkan kepada penumpang yang tidak memakai tali pinggang keledar, manakala 262 notis diberikan kepada pemandu atas kesalahan sama.

“Bagi penumpang, 878 notis diberikan kepada penumpang bas ekspres, 107 kepada penumpang bas persiaran, dan 15 kepada penumpang kenderaan barangan,“ jelas Aedy Fadly.

Majlis hari ini turut menyaksikan 968 peserta di Terengganu berjaya menamatkan latihan dan menerima lesen memandu di bawah Program MyLesen B2. - Bernama