KUALA TERENGGANU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu mengeluarkan sebanyak 746 saman atas pelbagai kesalahan dalam tempoh dua hari pelaksanaan Operasi Khas Hari Raya Aidiladha (Op HRAA) 2025 yang bermula 4 hingga 10 Jun ini.

Pengarahnya Zamri Samion berkata ia hasil pemeriksaan ke atas 6,006 kenderaan, termasuk motosikal, kereta, lori, bas dan lain-lain kenderaan persendirian.

Beliau berkata kesalahan utama dikesan melibatkan penunggang motosikal yang tidak memakai topi keledar dan gagal mematuhi isyarat lampu merah.

“Kesalahan lain, termasuk nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, masalah tayar dan ubah suai kenderaan tanpa kebenaran.

“Dalam tempoh dua hari operasi ini kita turut menyita 25 kenderaan, termasuk sebuah lori yang mengalami masalah teknikal sangat serius melibatkan masalah tayar, ketiadaan insurans dan lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh,“ katanya ketika Op HRAA 2025 di Jambatan Sultan Mahmud di sini malam tadi.

Zamri berkata seramai 110 anggota penguat kuasa JPJ Terengganu terlibat dalam kali ini, dengan memfokuskan tujuh kesalahan utama yang membawa risiko kemalangan.

Kesalahan itu, termasuk tidak mematuhi had laju, melanggar isyarat lalu lintas, memotong di garisan berkembar, memandu di lorong kecemasan, memotong dan menghalang kenderaan lain daripada memotong, memotong baris serta menggunakan telefon bimbit.

“Kita juga menyasarkan untuk mengurangkan 25 peratus kadar kemalangan dan 10 peratus kadar kematian pada operasi kali ini,“ katanya.