KOTA BHARU: Sebanyak 93,455 permohonan menerusi Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) diterima Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) membabitkan 5,273 program turun padang sejak 2020 hingga 15 Mac tahun ini.

Ketua Pengarah JPN Badrul Hisham Alias berkata program itu merupakan pendekatan proaktif JPN dalam memastikan setiap penduduk Malaysia layak memiliki dokumen pengenalan diri sah sekali gus membolehkan mereka menikmati pelbagai kemudahan yang ditawarkan oleh kerajaan.

Beliau berkata JPN komited dalam menjalankan aktiviti turun padang untuk memberikan perkhidmatan terus kepada masyarakat semasa di lapangan tanpa mengira latar belakang, usia dan faktor muka bumi.

“Tiga negeri yang merekodkan permohonan paling banyak mengadakan Program Mekar sejak Januari hingga 15 Mac tahun ini ialah Putrajaya, Perak dan Selangor,“ katanya.

Badrul Hisham berkata demikian kepada pemberita selepas Program Mekar Santunan Kasih Warga Emas di Rumah Seri Kenangan, Pengkalan Chepa hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata JPN tidak pernah meminggirkan masyarakat Orang Asli untuk mendapatkan kad pengenalan dan pendaftaran kelahiran.

“Kita seboleh mungkin akan pergi ke perkampungan Orang Asli dan cuba pastikan ia dapat dibuat secara berkala (permohonan buat kad pengenalan dan pendaftaran kelahiran) kepada mereka.

“Selain itu, JPN akan melihat beberapa faktor untuk masuk ke kawasan mereka seperti cuaca dan jarak,“ katanya.

Terdahulu, Badrul Hisham menyerahkan dokumen pengenalan diri kepada dua individu orang kurang upaya iaitu Muhammad Ruslan Ali, 62, di Tumpat dan Ahmad Hariz Rosli, 12, di Kubang Kerian.