Your Title

KANGAR: Jualan MADANI Koperasi Usahawan (JMKU) di seluruh negara merekodkan nilai jualan sebanyak RM4.8 juta setakat 30 Jun lepas.

Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan ia melibatkan sebanyak 183,743 penerima manfaat dengan penjimatan hingga 20 peratus iaitu membabitkan RM2.3 juta subsidi yang disediakan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

“Kementerian akan meneruskan program JMKU ini dalam menyediakan barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak, telur, daging dan ayam dengan tawaran penjimatan harga sebanyak 20 peratus berbanding di pasaran,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan SKM itu sempena majlis perasmian Bulan Koperasi Kebangsaan dan Hari Koperasi Negara 2024 di sini hari ini yang disempurnakan oleh Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Turut hadir Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli dan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk R. Ramanan.

Menurut SKM, kerajaan memperuntuk RM100 juta tahun ini melalui Pembiayaan Tabung Modal Pusingan SKM bagi menyediakan modal pusingan kepada koperasi yang menjalankan aktiviti ekonomi berpotensi dan berjaya maju.

“Pakej pembiayaan ini telah ditambah baik dengan had siling ditingkatkan hingga RM30 juta termasuk menyediakan pakej khas kepada koperasi yang tersenarai dalam kalangan Indeks 100 Koperasi Terbaik di Malaysia dan yang mempunyai prestasi bayaran balik pembiayaan yang lalu yang memuaskan,“ katanya.

Kenyataan itu turut memaklumkan sebanyak RM6.75 juta disediakan di bawah Program Pembangunan Perniagaan Melalui Koperasi 2.0 (Bantuan Pembangunan) kepada koperasi yang aktif dan menjalankan aktiviti ekonomi berdaya maju untuk menaik taraf infrastruktur perniagaan masing-masing.

“Kementerian juga telah memperuntuk RM2 juta di bawah Program Jom Jelajah Koperasi (JEJAK) dan bantuan akan diberi kepada koperasi dalam sektor pelancongan yang dapat meningkatkan daya pasaran produk pelancongan mereka seperti hotel, inap desa, resort, chalet, perkhidmatan pengangkutan pelancong dan hasil kraf tangan,” katanya.