SUNGAI SIPUT: Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) yang diadakan di Pusat Sehenti Aktiviti Orang Asli (OAOSC) di sini, bagaikan membawa seribu satu rahmat buat masyarakat Orang Asli di sekitar kawasan itu.
Walaupun terpaksa menempuh perjalanan yang jauh, seorang penoreh getah Long Busu, 56, dari Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Legap berkata beliau sanggup memandu hampir satu jam ke pusat sehenti itu, demi mendapatkan barangan keperluan asas pada harga berpatutan.
Menyifatkannya sebagai inisiatif kerajaan yang amat membantu golongan berpendapatan rendah, beliau yang mempunyai enam anak dan 10 cucu itu berkata program anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) itu, benar-benar meringankan beban masyarakat Orang Asli khususnya di kawasan pedalaman.
“Kalau nak diikutkan memang jauh juga rasa perjalanan ke sini, tapi disebabkan harga barangan keperluan yang murah, saya tetap juga datang ke sini untuk berbelanja.
“Memang berbaloi dan membantu meringankan beban kita untuk dapatkan beras, ayam dan minyak masak yang lebih murah daripada pasar raya luar,” katanya ketika ditemui Bernama pada program berkenaan baru-baru ini.
Seorang penduduk di Kampung Bawong, Ali Busu, 53, pula berkata penganjuran program itu nyata memberi kelegaan kepada komuniti Orang Asli di sekitar Bawong dan RPS Legap, apabila mereka tidak lagi perlu bersusah payah keluar hingga ke pekan Sungai Siput untuk mendapatkan barangan keperluan harian.
Beliau berkata ia bukan sahaja menjimatkan masa dan kos perjalanan, malah menawarkan barangan berkualiti pada harga yang amat berpatutan.
“Walaupun harganya murah, barangnya elok dan segar. Tak ada beza pun ayam, daging atau barangan kering yang dijual di sini dengan di pasar besar.
“Saya juga dapat jimat belanja barang dapur (jika beli di PJRM) selain duit itu boleh disimpan atau digunakan untuk perkara lain,” katanya yang bekerja sebagai penoreh getah dan memiliki empat cahaya mata.
Sementara itu, Zalinah Zabidi, 28, berharap agar program seumpama itu tidak hanya tertumpu di satu lokasi sahaja, sebaliknya diperluas ke kawasan lain di sekitar perkampungan Orang Asli di Bawong dan RPS Legap.
“Ada juga penduduk lain yang tahu tentang jualan ini, tapi mereka tiada kenderaan jadi tak boleh datang. Kalau boleh, jualan ini bergerak dari kampung ke kampung supaya lebih ramai boleh dapat manfaat,” katanya.
Zalinah yang bekerja sebagai pekerja awam di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bawong berkata penganjuran PJRM amat membantu, kerana bukan sahaja menjimatkan kos perbelanjaan keluarga malah ia secara tidak langsung dapat mengeratkan lagi hubungan komuniti.
“Bila ada jualan macam ini, bukan setakat beli barang, tapi boleh jumpa jiran kampung lain, berkumpul, berbual dan kongsi masalah,” katanya yang turut menyarankan agar program seumpama itu diselitkan dengan pemeriksaan kesihatan atau perkhidmatan lain seperti pendaftaran bantuan.
PJRM diperkenalkan oleh KPDN pada 11 Jan 2023, sebagai sebahagian daripada inisiatif Payung Rahmah untuk membantu meringankan beban kos sara hidup isi rumah golongan B40 dan masyarakat luar bandar.
Program itu menawarkan diskaun 10 hingga 30 peratus ke atas barangan keperluan harian seperti ayam, ikan, telur, minyak masak, gula, tepung, beras, sayur‑sayuran, buah‑buahan, barangan penjagaan diri, kebersihan rumah, lampin pakai buang, keperluan sekolah dan ubat-ubatan.