GEORGE TOWN: Seorang jurujual dijatuhi hukuman denda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas kesalahan melakukan ugutan jenayah terhadap ibunya bulan lepas.

Majistret Siti Nurul Suhaila Baharin menjatuhkan hukuman itu ke atas Kelvin Gun Soon Ming, 44, selepas dia mengaku bersalah terhadap perbuatan yang dilakukan di sebuah rumah di Bandar Baru Ayer Itam, kira-kira pukul 10.30 malam 9 Julai lepas.

Mahkamah turut memerintahkan dia dipenjara lapan bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut fakta kes Kelvin meminta RM5,000 daripada ibunya untuk membeli kereta, namun ibunya yang berumur 69 tahun enggan memberikannya, menyebabkan dia mengugut akan membakar rumah sekiranya warga emas itu tetap enggan memberinya wang.

Dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu peguam Yiew De Xien memohon hukuman denda yang minimum memandangkan ia merupakan kesalahan pertama anak guamnya.

Timbalan Pendakwa Raya Nurul Atikah Asharaf Ali kemudiannya memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran dan memastikan jurujual itu tidak mengulangi kesalahan.