GOMBAK: Punca kematian kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun disyaki akibat didera di sebuah pangsapuri di Bandar Tasik Puteri, Rawang semalam, belum dikenal pasti.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata proses bedah siasat mangsa masih belum selesai.

Katanya setakat ini motif kejadian masih belum ada dan proses soal siasat terhadap ibu dan bapa tiri mangsa masih lagi dijalankan.

Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui selepas meninjau lokasi kejadian di kawasan perumahan kedua-dua suspek itu.

Terdahulu media melaporkan sepasang suami isteri ditahan kerana disyaki mendera seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun sehingga meninggal dunia.

Pemeriksaan awal mendapati terdapat kesan kecederaan dan lebam di bahagian muka, tangan, kaki dan badan mangsa dipercayai dicederakan dengan tangan atau kaki, tali pinggang, penyangkut baju serta senjata tumpul.

Pasangan berusia 29 dan 28 tahun yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dan pembuat aiskrim itu direman tujuh hari hingga 24 Ogos ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.