KUALA LUMPUR: Seorang jurukimpal mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas pertuduhan memiliki item berkaitan kumpulan Daesh dan perbuatan pengganas dalam telefon bimbitnya, Mei lepas.

Muhammad Fesool Haron, 35, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim K. Muniandy yang kemudian menetapkan 20 Nov ini untuk prosiding jatuh hukum dan fakta kes.

Tertuduh didakwa memiliki item-item berkaitan kumpulan Daesh dan perbuatan pengganas dalam sebuah telefon bimbit di sebuah premis di Jalan Kempas 5/5, Kawasan Perindustrian Kempas di Johor Bahru pada 1.10 tengah hari, 30 Mei lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 130JB(1) kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan hendaklah dilucutkan mana-mana bahan tersebut, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Yazid Mustaqim Roslan manakala tertuduh diwakili peguam N.Kanmani.