KUALA LUMPUR: Seorang jurulatih berbasikal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap pelatih bawah umur tahun lepas. Nor Effandy Rosli, 58, bekas pelumba basikal lebuh raya negara, didakwa sebagai individu berkuasa yang menyalahgunakan kepercayaan dengan melakukan amang seksual terhadap remaja berusia 15 tahun sembilan bulan.
Kejadian dilaporkan berlaku di stor simpanan basikal di Taman Desa Keramat pada Jun 2024. Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan. Seksyen 16(1) akta sama pula memperuntukkan hukuman tambahan penjara tidak melebihi lima tahun dan sebatan.
Timbalan Pendakwa Raya Nadiah Malek Fauzie memohon jaminan RM15,000 dengan syarat tertuduh menyerahkan pasport dan melapor diri di balai polis. Peguam Nor Effandy, Hamdan Hamzah, memohon jaminan lebih rendah atas alasan kewangan, mendakwa kliennya berpendapatan RM5,000 sebulan dengan tanggungan empat anak.
Hakim Norshila Kamarudin membenarkan jaminan RM8,000 dengan syarat tambahan termasuk larangan menghubungi mangsa. Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 1 Ogos.