Your Title

KUALA LUMPUR: Seorang jurutera data mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyalahgunakan wang berjumlah RM145,000 milik sebuah syarikat besi buruk dalam urusan pelaburan projek, tahun lepas.

Jimmy Hoong Kam Weng, 45, didakwa menyalahgunakan wang milik Syarikat Seng & Kian Enterprise Sdn Bhd berjumlah RM145,000 melalui akaun bank Hong Leong milik tertuduh di mana tertuduh tahu bahawa duit tersebut bukan miliknya di Wisma Mont Kiara di sini pada 17 Mei lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dengan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya R. Harvind mencadangkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin manakala, peguam CW Chan yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya mempunyai tanggungan keluarga termasuk isteri, yang tidak bekerja dan empat orang anak.

Chan berkata kes ini adalah berkaitan pelaburan, di mana tertuduh dan pengadu bersetuju untuk melabur dalam projek bersama-sama dan mereka telah berjumpa dengan syarikat berkenaan projek serta bersetuju dengan harga yang telah ditetapkan.

Hakim Azrul Darus membenarkan Hoong diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 3 Feb depan untuk sebutan kes.