GEORGE TOWN: Seorang jurutera kilang kerugian RM300,000 selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan dalam talian, baru-baru ini.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad berkata polis menerima aduan daripada lelaki berusia 55 tahun itu semalam, memaklumkan telah diperdaya sindiket berkenaan.
“Awal April lepas, mangsa memberitahu telah melihat satu iklan pelaburan berkonsepkan jual beli saham melalui aplikasi Facebook yang menjanjikan pulangan keuntungan tinggi dalam masa singkat dan mula berhubung dengan suspek, seorang wanita melalui aplikasi Whatsapp.
“Jurutera itu yang berminat untuk menyertai pelaburan berkenaan kemudian telah diminta memuat turun satu aplikasi dan mendaftar sebagai ahli, seterusnya membuat pelaburan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hamzah berkata mangsa telah melakukan tujuh transaksi memasukkan wang ke dalam satu akaun atas nama sebuah syarikat bagi pelaburan itu.
Beliau berkata mangsa kemudian ke kaunter bank untuk membuat transaksi tambahan sebanyak RM52,800 tetapi tidak dibenarkan pihak bank yang memaklumkan dia sebenarnya telah menjadi mangsa penipuan.
Susulan itu, Hamzah berkata mangsa tampil membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.