PUTRAJAYA: Kadar fi untuk mencetak Sijil Pemilikan Kenderaan (VOC) di Semenanjung, Sabah dan Labuan telah diturunkan kepada RM20 berkuat kuasa hari ini, umum Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

Pada sidang media hari ini, Loke berkata sebelum ini, kadar fi di Semenanjung ialah RM50, manakala Sabah dan Labuan sebanyak RM25, bagaimanapun kadar di Sarawak dikekalkan RM5.

“Penyelarasan ini bertujuan merapatkan jurang perbezaan kadar fi antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Loke berkata kekerapan pemeriksaan berkala untuk kenderaan sekolah memandu diturunkan daripada setiap enam bulan kepada setiap tahun bagi kenderaan yang berusia bawah 10 tahun dari tarikh pendaftaran, berkuat kuasa hari ini.

Beliau berkata pengecualian pemeriksaan berkala juga akan diberikan kepada kenderaan baharu sekolah memandu yang berusia tidak melebihi tiga tahun, manakala kekerapan pemeriksaan berkala untuk kenderaan sekolah memandu yang melebihi 10 tahun adalah setiap enam bulan.

“Dasar ini akan menggalakkan sekolah memandu untuk menyediakan kenderaan yang lebih baharu bagi calon-calon sekolah memandu. Kebanyakan kenderaan digunakan di dalam litar sekolah memandu atau di laluan tetap ujian,” katanya.