• 2025-10-01 05:23 PM

PUTRAJAYA: Peratusan penduduk ASEAN yang hidup di bawah garis kemiskinan nasional menurun kepada 10.8 peratus pada 2023 berbanding 13.3 peratus pada 2016.

Laporan Kemajuan Indikator Matlamat Pembangunan Mampan ASEAN 2025 menunjukkan rantau ini berada di landasan kukuh untuk mencapai sasaran 2023.

Laporan itu dilancarkan secara maya oleh ASEANStats dengan kerjasama Jabatan Perangkaan Malaysia.

Ia menyediakan penilaian serantau mengenai pencapaian dan cabaran dalam pelaksanaan Agenda 2023.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata laporan berkenaan berfungsi sebagai rujukan penting kepada pembuat dasar.

Beliau menyatakan laporan itu memberikan panduan tentang kemajuan, jurang data serta hala tuju strategik pemantauan SDG di rantau ini.

Laporan disediakan melalui kerjasama rapat Pejabat Statistik Kebangsaan setiap Negara Anggota ASEAN.

Data dikumpulkan daripada pelbagai kementerian, jabatan dan agensi untuk gambaran menyeluruh kemajuan dari 2016 hingga 2023.

Inisiatif ini menunjukkan komitmen Malaysia sebagai negara peneraju ACSS 2025 di bawah Komuniti Ekonomi ASEAN.

Tenaga kerja kesihatan ASEAN berkembang dengan ketara termasuk peningkatan bilangan doktor daripada 6.7 kepada 8 bagi setiap 10,000 penduduk.

Bilangan jururawat dan bidan meningkat daripada 26.2 kepada 29.4 manakala doktor gigi daripada 1.1 kepada 1.4 dan ahli farmasi daripada 2.2 kepada 2.9.

Infrastruktur dan kesalinghubungan digital turut menunjukkan peningkatan ketara di seluruh rantau.

Akses kepada elektrik meningkat daripada 88.5 peratus kepada 95.7 peratus populasi ASEAN.

Liputan elektrik di sekolah rendah meningkat daripada 78.9 peratus kepada 85.3 peratus.

Liputan elektrik di sekolah menengah meningkat daripada 86.9 peratus kepada 89.3 peratus manakala di sekolah menengah atas mencapai 98.0 peratus.

Langganan jalur lebar tetap meningkat lebih dua kali ganda daripada 5.7 kepada 11.8 bagi setiap 100 penduduk.

Penggunaan Internet melonjak daripada 50.6 peratus kepada 82 peratus di kalangan penduduk ASEAN.

Kadar pengangguran belia menunjukkan penurunan lebih ketara daripada 11.2 peratus kepada 8.5 peratus.

Pemilikan akaun oleh golongan dewasa meningkat daripada 60.5 peratus kepada 76.4 peratus.

Kapasiti tenaga boleh diperbaharui meningkat daripada 60.1 kepada 74.9 watt per kapita.

Sembilan Negara Anggota ASEAN telah menerima pakai strategi pengurangan risiko bencana nasional yang sejajar dengan Rangka Kerja Sendai.

Laporan Kemajuan Indikator SDG ASEAN 2025 merangkumi liputan menyeluruh bagi kesemua 17 Matlamat dan 68 sasaran berkaitan.

Ia diukur melalui 80 indikator unik atau 165 indikator apabila mengambil kira subindikator dan indikator yang diulang.

ASEAN telah menunjukkan pencapaian membanggakan merentasi semua Matlamat Pembangunan Mampan sepanjang tujuh tahun lepas.

Sebanyak 15 sasaran kini berada di landasan yang betul khususnya dalam bidang pembasmian kemiskinan, kesihatan dan kesaksamaan gender.

Tiga puluh dua sasaran menunjukkan kemajuan sederhana manakala 21 sasaran menunjukkan tanda-tanda kemerosotan atau mendatar. – Bernama