SHAH ALAM: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor menahan sebuah kapal tangki serta 16 anak kapal kerana berlabuh tanpa kebenaran di Pulau Pintu Gedong, Klang, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Selangor Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata kapal dikendalikan nakhoda warga Thailand berumur 36 tahun itu ditahan pada 3.15 petang oleh kapal KM DANGA yang sedang menjalankan rondaan rutin di kawasan perairan Selangor.

Beliau berkata pemeriksaan mendapati terdapat 16 kru warga asing berusia antara 20 hingga 55 tahun, terdiri 13 warga Thailand termasuk dua wanita, dua rakyat Myanmar dan seorang warga Indonesia berada atas kapal tangki berkenaan.

“Pemeriksaan mendapati kapal itu melakukan kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana tidak mendapat kebenaran bersauh daripada Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia serta gagal mengibarkan bendera Malaysia.

“Dua kru kapal, termasuk Pegawai Dek Kedua dan Jurutera Kedua dibawa ke Jeti Pangkalan Maritim (PPM) Pulau Indah untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam kes berasingan, Abdul Muhaimin berkata kapal KM DANGA turut menahan sebuah bot nelayan tempatan Kelas C kerana melanggar syarat sah lesen menangkap ikan.

Beliau berkata bot dikendalikan seorang tekong bersama empat awak-awak warga Myanmar berumur antara 36 hingga 49 tahun itu ditahan pada 1 petang di kedudukan 17 batu nautika barat daya Pulau Tengah.

“Kesemua kru gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah manakala pemeriksaan ke atas vesel mendapati ia melanggar syarat lesen kerana menggunakan mata pukat kurang daripada 38 milimeter untuk menangkap ikan,” katanya.

Abdul Muhaimin berkata kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.