KOTA TINGGI: Kapal tangki MT Ceres 1 yang didapati hilang dari lokasi pelanggaran di sini semalam, dijumpai pada kedudukan 28 batu nautika timur laut Pulau Tioman awal pagi tadi.
Pengarah Bahagian Carilamat dan Bantuan Bencana Maritim Malaysia Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus berkata kapal peronda luar pesisir (OPV) KM PEKAN Maritim Malaysia berjaya mengesan dua bot tunda dipercayai dari Singapura sedang menunda kapal Tangki MT Ceres 1 itu.
“Kapal OPV KM PEKAN berjaya memintas kapal tangki MT Ceres 1 dan menahan dua bot tunda yang disyaki terlibat dalam membawa lari kapal tangki terbabit,“ katanya dalam kenyataan hari ini.
Maritim Malaysia dengan kerjasama Jabatan Laut Malaysia (JLM) akan menjalankan siasatan lanjut susulan penemuan semula kapal tangki yang berdaftar dari Republik Demokratik Sao Tome dan Principe itu.
Beliau dalam pada itu berkata hasil tinjauan udara pesawat amfibia Bombardier CL 415 MP semalam, menemukan sedikit kesan tumpahan minyak di lokasi insiden pelanggaran dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah dimaklumkan untuk membuat pemantauan lanjut.
Kapal tangki MT Ceres 1 dan MT Hafnia Nile yang berdaftar di Singapura terlibat dalam insiden pelanggaran di 25 batu nautika Timur Laut Tanjung Balau di sini pada 6.55 pagi Jumaat.
Bagaimanapun, semalam kapal tangki MT Ceres 1 gagal dikesan selepas didapati meninggalkan lokasi kejadian dan menutup Sistem Pengenalan Automatik (AIS).