Your Title

KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah merampas 2,500 karton minuman keras bernilai RM347,223.60 termasuk duti dan cukai disyaki diseludup masuk dari Labuan, pada 12 Jun lepas.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah Datuk Mohd Nasir Deraman berkata rampasan dilakukan hasil pemeriksaan terhadap sebuah lori di KM1 Jalan Lama Papar-Kota Kinabalu, Kampung Novoung, Papar kira-kira 11 malam.

“Pemeriksaan awal mendapati lori itu berisi muatan tong biru. Pemeriksaan lanjut kemudian menemukan 2,500 karton minuman keras berlabel Malaysian Duty Not Paid (MDNP) pelbagai jenama yang disusun di bawah timbunan tong-tong berkenaan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata pemandu lori berkenaan iaitu lelaki tempatan berusia 43 tahun kini ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967.

Mohd Nasir turut menyarankan orang ramai menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan menerusi talian bebas tol kastam 1-800-88-8855.