PETALING JAYA: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) melumpuhkan dua kegiatan penyeludupan membabitkan produk tembakau, beras dan bijirin serta pil ekstasi dengan nilai keseluruhan lebih RM3 juta dalam serbuan berasingan di Selangor dan Kuala Lumpur pada Julai dan November lepas.
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah Norlela Ismail berkata pemeriksaan terhadap tiga kontena di Pelabuhan Klang, Selangor pada November lepas menemukan sejumlah produk tembakau seperti tembakau kunyah dan serbuk tembakau serta beras jenis basmati dan bijirin yang dipercayai dibawa masuk dari India untuk pasaran tempatan.
“Jumlah rampasan itu membabitkan 7,303 kilogram (kg) produk tembakau bernilai RM325,000 serta 7,580kg beras basmati dan bijirin bernilai RM351,700 dengan keseluruhan cukai berjumlah RM2,816,880
“Modus operandi mereka ialah membuat pengikraran yang tidak benar iaitu Assorted Food Beverage di Borang Kastam 1 yang merupakan dagangan tidak memerlukan Permit Import semasa pengimportan,“ katanya pada sidang media di Kompleks Kastam Kuala Lumpur di sini hari ini.
Susulan itu, beliau berkata tiga wakil ejen penghantaran telah dipanggil bagi membantu siasatan di bawah Akta Kastam 1967.
Sementara itu, Norlela berkata serbuan pada Julai lepas di Pusat Mel dan Kurier Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pula menemukan pil ekstasi dengan anggaran berat 0.43kg bernilai RM71,810.
“Bungkusan berkenaan dari negara di Eropah dan butiran penerima adalah di sebuah alamat palsu di Petaling Jaya, Selangor.
“Modus operandi kegiatan ini adalah membahagi bungkusan besar ini kepada bungkusan kecil dan akan dihantar melalui kurier secara terus kepada penerima dengan anggaran berat bungkusan 0.3 hingga 0.5 kg setiap satu,“ katanya menambah kes disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.
Beliau berkata bagi memastikan aktiviti pengedaran dadah melibatkan kurier dibanteras pihaknya akan membuat pemeriksaan berkala bersama anjing pengesan di tempat kurier sekitar Lembah Klang.