• 2025-10-22 12:06 PM

IPOH: Kawasan pendakian Gunung Liang dalam daerah Perak Selatan telah ditutup kepada orang awam berkuat kuasa serta-merta sehingga suatu tarikh dimaklumkan kelak.

Jabatan Perhutanan Perak memaklumkan arahan penutupan ini dikeluarkan oleh Pengarah Perhutanan negeri Datuk Mohd Basri Abdul Manaf.

Arahan penutupan dikecualikan bagi penganjuran program jabatan seperti Program Konservasi Trek Pendakian dalam Hutan Simpanan Kekal.

Ketidakpatuhan arahan ini boleh dikenakan denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekiranya disabitkan kesalahan.

Perkara ini berpandukan Seksyen 47, Enakmen Akta Perhutanan Negara 1984 (Pemakaian) 1985.

Pada 16 Oktober, pendaki Mustaqqeem Mansoor, 34, ditemukan meninggal dunia di puncak Gunung Liang Barat dekat Tanjong Malim.

Beliau memulakan pendakian pada 10 Oktober dari Bukit Fraser, Pahang bersama-sama 10 rakan dan kali terakhir dilihat pada 14 Oktober.

Jenazah dibawa keluar dari puncak gunung berketinggian 1,933 meter menggunakan helikopter AW189 oleh Pasukan Khas Udara Bomba.

Bedah siasat mengesahkan punca kematian pendaki tersebut disebabkan oleh hipotermia.

Setakat 19 Oktober, polis telah memanggil lapan individu terdiri daripada peserta dan rakan pendaki mangsa untuk membantu siasatan. – Bernama