KUALA LUMPUR: Kapal selam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) KD Tun Razak dalam keadaan terbaik dan berupaya beroperasi dengan berkesan.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang dalam rangka lawatan kerja ke Pangkalan TLDM Kota Kinabalu, Sabah pada Sabtu berkata beliau telah melihat sendiri kemampuan KD Tun Razak menyelam pada kedalaman operasi maksimum ketika tinjauan operasi Kapal Peronda Luar Pesisir (OPV) KD Selangor di Laut China Selatan.

Beliau berkata ia membuktikan keupayaan kapal selam negara beroperasi dengan baik dan berkesan.

“Pelayaran ini telah disertai anak-anak kapal yang mahir dan kompeten, yang dilahirkan melalui projek perolehan kapal selam ini.

“Saya pasti kapal selam ini bukan sahaja melambangkan pemodenan Armada TLDM, malah penting dalam membina imej Malaysia sebagai negara yang memiliki angkatan laut dihormati dan digeruni,“ katanya menerusi hantaran di laman Facebook, semalam.

Mohamed Khaled berkata kapal selam Scorpene itu telah diperoleh dari Perancis dan ditauliahkan pada 2009.

Beliau pada masa sama turut berikrar untuk terus memberikan komitmen terhadap usaha pemodenan dan pemerkasaan aset ketenteraan strategik demi mempertahankan kedaulatan negara.

Turut hadir pada lawatan itu Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Lokman Hakim Ali dan Panglima Armada Timur Laksamana Muda Datuk Muhammad Ruzelme Ahmad Fahimy.