KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi komitmen sepenuhnya untuk menyelesaikan isu kewarganegaraan melibatkan sekitar 30,000 pemegang status pemastautin tetap atau MyPR yang tidak mempunyai permit masuk atau dokumen perjalanan negara asing.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata mereka terdiri daripada individu yang diambil sebagai anak angkat, mereka yang lahir sebelum Merdeka dan berada di negara ini sebelum pembentukan Persekutuan Malaysia.

“Pasukan Kementerian Dalam Negeri sudahpun siap memuktamadkan garis panduan permohonan yang amat jelas dan telus khususnya untuk Perkara 15A dan 19(1) Perlembagaan Persekutuan,” katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen hari ini.

Beliau berkata terdapat kira-kira 30,000 orang dalam kategori itu namun hanya 10,000 daripada mereka memohon kewarganegaraan.

Menjelaskan kekeliruan berhubung isu taraf kewarganegaraan anak-anak kepada ibu bapa berstatus pemastautin tetap yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen pada perbahasan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2024 hari ini, Saifuddin Nasution berkata ada yang mencampur aduk dua kumpulan pemastautin tetap di Malaysia.

Beliau berkata terdapat dua kategori pemastautin tetap di Malaysia iaitu mereka yang diberikan MyPR, mempunyai permit masuk dan memiliki dokumen perjalanan negara asing iaitu merujuk kepada warga asing sepenuhnya.

Kedua, pemegang MyPR yang tidak mempunyai permit masuk atau dokumen perjalanan negara asing iaitu merujuk kepada anak angkat, mereka yang lahir sebelum Merdeka dan berada di negara ini sebelum pembentukan Persekutuan Malaysia.

“Prinsip utama adalah semua anak pemegang status pemastautin tetap kategori pertama iaitu warga asing sepenuhnya boleh menuntut taraf kewarganegaraan asal ibu bapa mereka. Adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk melaporkan kelahiran anak-anak mereka di Kedutaan Negara asal masing-masing agar mendapat taraf kewarganegaraan negara asal mereka.

“Pindaan pemberian taraf kewarganegaraan secara kuat kuasa undang-undang adalah bertujuan bagi mengelak anak-anak pemastautin tetap (daripada kategori pertama atau warga asing) memiliki dwikewarganegaraan,” katanya.

Saifuddin Nasution juga memaklumkan jumlah pemastautin tetap warga asing adalah tujuh kali ganda lebih besar berbanding pemastatutin tetap kategori kedua.

“Kalau ikut Perlembagaan sedia ada, anak-anak pemastautin tetap ini automatik akan dapat warganegara dan itu akan bawa suatu keadaan yang tidak seimbang,“ katanya.

Seramai 59 Ahli Parlimen mengambil bahagian pada sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) berkenaan hari ini.

Pindaan itu antaranya bakal menyaksikan seseorang kanak-kanak yang lahir di Persekutuan dan sekurang-kurangnya seorang daripada ibu bapanya pada masa kelahiran itu bermastautin secara tetap di Persekutuan, kini tidak lagi layak untuk mendapat kewarganegaraan secara kuat kuasa undang-undang.

Ia juga memperuntuk hak kepada kanak-kanak yang lahir di luar Persekutuan dan ibunya pada masa kelahiran itu seorang warganegara bagi memperoleh kewarganegaraan melalui kuat kuasa undang-undang berbanding hanya jika bapanya seorang warganegara.