• 2025-10-17 06:12 PM

PUTRAJAYA: Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia diunjurkan berkembang 5.2 peratus pada suku ketiga tahun 2025.

Jurucakap Kerajaan MADANI Datuk Fahmi Fadzil menyatakan angka ini membuktikan ekonomi negara terus berkembang pesat terutamanya dalam sektor pembinaan dan perkhidmatan.

Beliau menegaskan unjuran tersebut telah melepasi sasaran yang ditetapkan iaitu 4.8 peratus meskipun ekonomi global masih berdepan ketidaktentuan politik dan perdagangan.

“Walaupun dalam keadaan isu geopolitik dan perdagangan antarabangsa yang dikatakan tidak kelihatan stabil namun dari segi asasnya ekonomi Malaysia terus berkembang pesat terutama dalam sektor pembinaan dan perkhidmatan,” katanya semasa sidang media mingguan.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi turut mendedahkan permintaan Perdana Menteri supaya sektor pembuatan diberi perhatian khusus.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahukan pelbagai isu cabaran dalam keadaan geopolitik dan perdagangan antarabangsa dapat ditangani dengan lebih berkesan.

Anggaran awal KDNK oleh Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan peningkatan ketara daripada pertumbuhan 4.4 peratus pada suku sebelumnya.

Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin mengesahkan pertumbuhan itu disokong oleh prestasi kukuh dalam semua sektor utama.

Beliau menekankan permintaan domestik kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara.

Aktiviti berkaitan pelancongan sepanjang cuti umum dan cuti sekolah dikenal pasti sebagai penyumbang penting kepada prestasi ekonomi tersebut. – Bernama