KUALA LUMPUR: Keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman ke atas individu terlibat dalam pembunuhan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Anthony Kevin Morais disambut baik oleh Persatuan Pegawai-Pegawai Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (JALSOA).
Dalam kenyataan hari ini, JALSOA menyatakan keputusan itu bukan sahaja membawa kelegaan kepada keluarga mendiang tetapi juga mengukuhkan keyakinan terhadap sistem keadilan negara.
“Kejadian tragis ini mengingatkan kita semua akan cabaran sebenar dihadapi pegawai undang-undang khususnya Timbalan Pendakwa Raya dalam menjalankan tugas demi menegakkan kebenaran dan keadilan walau berdepan risiko serta ancaman,” menurut kenyataan itu.
JALSOA turut mengucapkan terima kasih kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pasukan pendakwa raya atas usaha gigih dalam memastikan keadilan tercapai.
Semalam, Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman mati ke atas bekas pakar patologi Kol Dr R. Kunaseegaran, 62, yang disabitkan membunuh Morais pada 2015. Dua lagi tertuduh, S. Nimalan, 31, dan S. Ravi Chandran, 53, dihukum penjara seumur hidup selepas hukuman mati mereka diringankan.
Tiga individu lain iaitu R. Dinishwaran, 32, A.K. Thinesh Kumar, 31, dan M. Vishwanath, 34, dibebaskan sepenuhnya.
Morais dilaporkan hilang pada 4 September 2015 sebelum mayatnya ditemui dalam tong dram berisi konkrit di Subang Jaya.