KUALA LUMPUR: Kerja-kerja penilaian akhir fizikal bagi kediaman terjejas susulan insiden letupan dan kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya yang menggemparkan negara pada pagi Selasa lepas, akhirnya selesai pagi ini.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Nor Hisham Mohammad dilapor berkata hasil penilaian itu akan dibentang dan disampaikan kepada pihak berkaitan petang ini, yang memasuki hari keenam insiden letupan berkenaan.

Bagi operasi di kawasan kawah kebakaran dan letupan paip gas pula, fokus utama adalah mengeluarkan air yang bertakung di kawasan itu susulan hujan bagi membolehkan kerja-kerja penilaian keselamatan disambung semula.

Nor Hisham berkata kerja-kerja penilaian kawah kebakaran juga dijangka memerlukan lebih masa kerana ia tidak hanya melibatkan pihak JBPM, tetapi pelbagai agensi luar.

Operasi di lokasi kejadian turut dibantu syarikat swasta MSA Safety yang meminjamkan lebih 10 unit peralatan pengesanan gas bagi membolehkan pihak berkuasa memasuki kawasan insiden dengan selamat, seterusnya menjalankan siasatan terperinci di kawasan insiden itu.

Sementara itu, penuntut Institusi Pengajian Tinggi termasuk universiti awam, politeknik dan kolej komuniti yang terjejas dibenarkan mengikuti pelajaran secara dalam talian menjelang sesi pengajian yang bermula esok.

Setakat pukul 12 tengah hari tadi, jumlah mangsa yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) Masjid Putra Heights adalah 375 orang daripada 96 keluarga.

Perkembangan terkini mengenai insiden itu dijangka dimaklumkan dalam satu sidang media oleh Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan pukul 4 petang ini di Pos Kawalan Tempat Kejadian.

Kebakaran saluran paip gas Petronas pada 8.10 pagi Selasa lepas, menyaksikan api menjulang setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.

Sebanyak 87 rumah mengalami kerosakan total dan tidak boleh didiami, manakala 148 rumah lagi terjejas serta mengalami kerosakan, tetapi boleh didiami setelah melalui proses pembaikan.