KUALA LUMPUR: Kedudukan asas ekonomi negara yang kukuh diyakini mampu membolehkan Malaysia berdepan ketidaktentuan global secara terurus susulan pengumuman tarif timbal balas Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketika menegaskan perkara itu, beliau berkata reformasi struktur yang dilaksanakan di bawah kerangka Ekonomi MADANI juga dilihat dapat membantu negara untuk lebih berdaya tahan serta bersiap siaga mendepani ketidaktentuan ekonomi global.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata daya tahan ekonomi domestik itu juga menyukarkan Malaysia untuk terjebak dengan tekanan pihak luar.
“Satu hal yang ingin saya tegaskan, kita mengharungi kekacauan ini dengan asas ekonomi yang kukuh dan meyakini bahawa Malaysia mampu mendepani situasi ini secara terurus.
“Kita mempunyai angka dan data-data yang mampu dikendalikan serta dimanfaatkan secara bijak,“ kata beliau pada sesi penerangan Sesi Mesyuarat Khas Dewan Rakyat mengenai tarif AS di sini, hari ini.
Menjelaskan selanjutnya, Anwar juga menyifatkan prestasi makroekonomi negara pada tahun lepas sebagai amat meyakinkan antaranya mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 5.1 peratus pada tahun 2024 berbanding 3.6 peratus pada 2023, malah pencapaian itu melebihi unjuran Belanjawan 2024 iaitu antara empat hingga lima peratus.
“Selain itu, kita berupaya mengurangkan defisit fiskal secara konsisten iaitu daripada 5.5 peratus pada 2022) kepada 5 peratus (2023), seterusnya 4.1 peratus (2024) dan unjuran 2025 pula pada kadar 3.8 peratus,“ kata beliau.