Your Title

SHAH ALAM: Kehadiran ibu Zayn Rayyan Abdul Matiin di lokasi mayat kanak-kanak autism itu ditemukan dan kediaman mereka adalah sebahagian daripada proses melengkapkan siasatan kes bunuh tersebut.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata ia merupakan antara prosedur atau tindakan yang perlu diambil sebelum kertas siasatan dilengkapkan dan diserahkan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.

Beliau berkata perkembangan lanjut sama ada siasatan kes itu telah lengkap atau sebaliknya serta status reman ibu bapa kanak-kanak tersebut akan dimaklumkan oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.

“Mengenai reman ibu bapa Zayn Rayyan yang akan tamat Khamis, saya tidak dapat berkongsi apa apa (perkembangan) pada petang ini.

“Dia (ibu bapa Zayn Rayyan) tidak boleh sambung reman lagi dan tunggu mungkin Pengarah JSJ akan beri kenyataan berkaitan perkembangan kes ini,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor hari ini.

Semalam, ibu kepada Zayn Rayyan dibawa semula ke kediamannya di Apartment Idaman, Damansara Damai serta lokasi mayat ditemukan berhampiran rumah mereka, dipercayai untuk melakonkan semula kejadian kehilangan kanak-kanak sehingga mayatnya ditemui.

Pada Jumaat lepas, Hussein dilaporkan berkata tempoh reman ibu bapa Zayn Rayyan disambung hingga 13 Jun ini bagi membolehkan siasatan lanjut diteruskan terhadap kedua-dua mereka.

Menurut Hussein keterangan tidak konsisten antara faktor tempoh reman ibu bapa kanak-kanak autisme itu disambung.

Pada 6 Dis tahun lepas, mayat Zayn Rayyan, 6, ditemukan dalam keadaan terbaring di aliran anak sungai berhampiran rumahnya di Apartment Idaman selepas dilaporkan hilang sehari sebelumnya.

Kanak-kanak itu dipercayai dibunuh apabila hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher serta badannya akibat mempertahankan diri.