KUALA LUMPUR: Kejayaan pemain golf negara Ervin Chang yang menamatkan ketandusan pingat selama 21 tahun dalam acara golf bagi temasya Sukan SEA semalam, membuktikan sukan golf negara berpotensi untuk terus berkembang maju, terutamanya buat generasi muda.
Presiden Persatuan Golf Junior Malaysia (MGJA) Datuk Seri Irmohizam Ibrahim menerusi kenyataan berkata kemenangan berprestij Ervin, yang membutirkan pingat emas dalam acara golf individu lelaki di Heron Lake Golf Course & Resort semalam, turut menjadi pembakar semangat buat semua pemain golf negara.
“Ia membuktikan bahawa sukan golf di Malaysia mampu berkembang, bakat seharusnya dicungkil, diasah dan digilap dengan minat serta kerjasama daripada kelab golf.
“Kelab-kelab golf juga seharusnya beriltizam dan saling melengkapi antara satu sama lain terutamanya dalam pengurusan dan kemudahan yang terbaik kepada mereka,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau turut optimis Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor sebagai peneraju Persatuan Golf Malaysia (MGA), telah memainkan peranan yang baik buat sukan berkenaan.
Justeru, Irmohizam turut menyarankan agar sukan golf lebih dipromosikan kepada anak muda selain mencungkil bakat mereka hingga ke peringkat antarabangsa melalui kerjasama latihan dengan institusi pengajian awam serta swasta.
Semalam Ervin mencipta sejarah dengan muncul selaku wakil Malaysia pertama memenangi pingat emas individu lelaki apabila menewaskan Amadeus Susanto Christian (70-71-68) dari Indonesia dalam perlawanan “playoff” tiga lubang selepas kedua-duanya terikat pada kedudukan tujuh di bawah par 209 selepas mengharungi tiga pusingan. - Bernama