KUALA LUMPUR: Kejayaan individu, syarikat dan negara pada masa hadapan boleh diukur melalui keberkesanan mereka menggunakan kecerdasan buatan (AI), kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata AI bukan lagi sekadar alat teknologi, malah ia boleh dikatakan menjadi pemboleh penting seterusnya dalam daya saing ekonomi, daya tahan negara dan juga pengaruh geopolitik.

“Dalam banyak keadaan, AI telah pun membawa perubahan besar dalam cara kita bekerja, mencari atau menyampaikan maklumat - malahan bagaimana kita menjalani kehiduapn, berinteraksi dan berhibur sesama kita.

“Namun, pencetus perubahan ini turut membawa cabaran dan bahaya bersamanya. Kita tidak boleh, sebagai contoh, dengan mudah menolak kemungkinan AI boleh memburukkan polarisasi, xenofobia, perkauman atau kecenderungan untuk berperang,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan alu-aluan pada sesi bual santai bertajuk ‘The Intelligence Grid: Building Bridges Through Sovereign AI Collaboration’, di sini hari ini.

Tengku Zafrul menjadi pemudah cara bagi sesi bual santai itu yang disertai Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan G42 Peng Xiao.

G42 ialah syarikat pegangan teknologi yang berpangkalan di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu yang memfokuskan kepada AI dan pengkomputeran awan.

Bagaimanapun, Tengku Zafrul berkata dalam dunia yang penuh dengan persaingan untuk mendominasi, sesi itu memilih mengambil jalan alternatif.

“Apa yang kita harap dapat teroka hari ini adalah bagaimana kuasa pertengahan - seperti yang ada di ASEAN dan Teluk—boleh membentuk model baharu kerjasama AI: yang menghormati kepentingan berdaulat, sambil menggalakkan pembangunan bersama, saling mempercayai dan kemajuan inklusif.

“Kita bertuah kerana ada dua pemimpin terkemuka dan seorang kapten korporat global untuk membincangkan soalan-soalan sebegini,“ katanya.