KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK) terus melaksanakan pelbagai program bagi menangani gejala sosial dalam kalangan remaja, termasuk golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Ustaz Mohd Asri Mat Daud berkata, sejak 2019, Bahagian Undang-Undang Keluarga Islam JAHEAIK bersama Persatuan Aspirasi Kelantan dan Persatuan Perantaraan Pesakit Kelantan (SAHABAT) telah menganjurkan Kelas Fardhu Ain dan Kelas Al-Quran untuk golongan tersebut.
“Kelas ini terpaksa ditangguhkan sementara pada 2020 berikutan COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan sebelum ini di seluruh negara. Bermula Jun 2024, kelas ini beroperasi semula seperti biasa dengan penganjuran dua kali seminggu,“ katanya.
Beliau menambah, program ini menunjukkan perkembangan positif dalam kalangan peserta.
“Sepanjang program ini berlangsung, kita dapat lihat perkembangan peserta yang berjaya menguasai bacaan al-Quran, ada yang berubah perilaku dan insaf hasil daripada program ini,“ jelasnya.
Ustaz Mohd Asri berkata demikian bagi menjawab soalan Tuan Harun Ismail (PAS-Tawang) berhubung mekanisme kerajaan negeri dalam memantapkan akidah remaja dan mengelakkan gejala sosial pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan hari ini.
Selain itu, kerajaan negeri turut melaksanakan program Al-Muttakin bagi golongan Orang Kena Pengawasan (OKP) yang terlibat dengan masalah pengedaran dadah.
“Melalui program Al-Muttakin ini, OKP dapat bimbingan secara tersusun dan berkala melalui pendekatan zikir, solat, halakah berkelompok serta rawatan jiwa dan kaunseling agar mereka dapat menjalani kehidupan harian dengan lebih baik,“ katanya. – Bernama