KUALA NERUS: Kesempitan hidup memaksa lapan ahli keluarga berteduh dalam sebuah bangunan rumah burung layang-layang di Kampung Batin, Seberang Takir sejak setahun lalu.
Mohd Nazarudin Muhamat, 50, berkata beliau bersama isteri dan enam anak terpaksa menumpang di bangunan milik ibu mentuanya itu kerana tidak mampu membayar kos sewa rumah.
“Pada asalnya, kami tinggal di bahagian stor bangunan rumah burung yang sangat sempit.
Dengan sedikit wang yang ada, saya sambung sedikit demi sedikit buat ruang bilik dan dapur walaupun dalam keadaan serba daif,“ katanya.
Beliau yang bekerja sebagai mekanik hanya memperoleh pendapatan sekitar RM500 hingga RM1,000 sebulan, yang hanya cukup untuk keperluan asas termasuk persekolahan lima anaknya, salah seorang daripadanya menghidap sindrom kurang daya tumpuan dan hiperaktif (ADHD).
Keadaan rumah mereka yang tidak mempunyai pintu juga sering dimasuki haiwan liar seperti babi, ular, dan kala jengking.
“Kalau diikutkan memang saya sentiasa dalam keadaan tidak tenang fikirkan keselamatan keluarga tetapi kami tidak ada pilihan lain,“ ujarnya.
Pengarah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Terengganu, Md Razi Md Lazim, berkata pihaknya akan membantu menyiapkan kediaman yang lebih selesa untuk keluarga tersebut.
“Kami akan siapkan peruntukan dan lantik kontraktor untuk laksanakan kerja-kerja menyiapkan rumah agar lebih sesuai dan selesa didiami,“ jelasnya. – Bernama