IPOH: Perak mencatatkan peningkatan keluasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) jenis paya bakau dari 4.1 peratus pada 2010 kepada 4.3 peratus pada September tahun ini, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) diberitahu hari ini.
Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata perubahan keluasan dan peratusan kawasan hutan dan paya bakau adalah disebabkan berlakunya pemansuhan dan perisytiharan HSK di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 (Pemakaian) 1985 untuk tujuan penempatan, pertanian, perlombongan, perindustrian dan lain-lain.
“Sehingga September, keluasan HSK di negeri Perak adalah seluas 986,862 hektar iaitu 47 peratus daripada keluasan tanah negeri. Daripada jumlah ini, seluas 944,451 hektar adalah hutan darat dan 42,410 hektar adalah hutan paya laut (hutan bakau).
“Keluasan dari 2010 hingga 2022 adalah konsisten sebanyak 47 peratus. Manakala keluasan HSK jenis paya bakau meningkat dari 4.1 peratus (2010) kepada 4.3 peratus (2022) berbanding keluasan HSK secara keseluruhan.
“Peningkatan ini merupakan iltizam kerajaan negeri untuk mencapai sasaran 50 peratus daripada keluasan tanah kerajaan negeri adalah HSK,” katanya menjawab soalan Wong May Ing (DAP-Pantai Remis) berkaitan perlindungan terhadap kawasan hutan simpan dan payu bakau pada sesi soal jawab hari ini.
Saarani berkata Jabatan Perhutanan Negeri Perak bersama Pejabat Tanah dan Galian Negeri Perak sedang berusaha untuk mewartakan Tanah Kerajaan yang telah diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak sebagai HSK seluas lebih kurang 5,472 hektar.
Menurut beliau, daripada keluasan HSK yang berjumlah 986,862 hektar, penerokaan hutan melibatkan aktiviti pertanian, perindustrian dan perlombongan adalah seluas 1,281.02 hektar. - Bernama