KUALA LUMPUR: Tiga belas jenazah mangsa yang terlibat dalam kemalangan membabitkan bas yang membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Banun, berdekatan Tasik Banding, Gerik awal pagi tadi, dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh, untuk bedah siasat.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata dua lagi jenazah akan dibedah siasat di Hospital Gerik, manakala mangsa yang tercedera dalam kemalangan berkenaan sedang mendapatkan rawatan di Hospital Gerik.

Beliau berkata pihaknya juga sedang menyelaras bantuan penginapan untuk keluarga mangsa bersama Politeknik Ungku Omar, Ipoh dan Kolej Komuniti Gerik.

“Saya dalam perjalanan ke Hospital Ipoh untuk bertemu dengan keluarga mangsa. Saya mohon sama-sama kita doakan segala urusan mangsa dipermudahkan dan kepada semua keluarga yang terlibat, semoga diberi kekuatan dan ketabahan.

“Insya-Allah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan UPSI sendiri telah menggerakkan apa jua bentuk bantuan untuk diberikan kepada semua yang terlibat. UPSI telah tubuhkan bilik gerakan berserta hotline,” katanya menerusi media sosial beliau.

Beliau dalam hantaran yang sama turut mengesahkan setakat ini 15 warga UPSI meninggal dalam kemalangan awal pagi tadi.

Terdahulu Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Angkatan Pertahanan Awam (APM) Hulu Perak berkata sekurang-kurangnya 15 maut dalam kemalangan yang melibatkan 48 mangsa.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPSI Prof Dr Norkhalid Salimin ketika dihubungi berkata kemalangan itu melibatkan 42 pelajar universiti berkenaan yang dalam perjalanan dari Jertih, Terengganu pulang ke kampus di Tanjung Malim menaiki bas sewa selepas cuti perayaan Aidiladha.