SEREMBAN: Mahkamah Koroner di sini hari ini memutuskan punca kematian Nour Rania Asyifaa Yuseri atau “Baby Syifa” yang ditemukan tidak sedarkan diri di dalam buaian di sebuah taska dua tahun lepas, disebabkan tekanan pada leher.

Koroner Datin Surita Budin ketika membacakan keputusan itu berkata kematian bayi berusia 15 bulan itu bukan satu kemalangan atau kecelakaan tetapi disebabkan tergantung di dalam buaian yang ditinggalkan oleh pengasuh.

“Kematiannya disebabkan tekanan pada leher dan tekanan ini bersesuaian dihasilkan oleh berat badan si mati apabila lehernya tersangkut di bahagian tepi sisi hujung kain buaian.

“Bagi tujuan inkues ini saya berpuas hati bahawa atas imbangan kebarangkalian berdasarkan keterangan daripada saksi untuk mahkamah memutuskan kematian si mati bukanlah satu kemalangan atau kecelakaan.

“Tetapi, terdapat keterangan kukuh menunjukkan si mati tergantung di dalam buaian disebabkan tindakan S19 (saksi ke-19) (pengasuh) yang tinggalkannya di dalam buaian tanpa pengawasan sewajarnya dalam jangka masa munasabah,“ katanya.

Sebanyak 28 saksi dipanggil sepanjang prosiding dijalankan bermula 22 Sept 2022. Kes dikendalikan oleh Pegawai Pengendali Inkues Zahida Zakaria dan peguam keluarga Gaithri Thomas.

Turut hadir di mahkamah hari ini ialah ibu bapa bayi malang terbabit iaitu Anida Idrus dan Yuseri Yusoff.

Berhubung persoalan sama ada kematian si mati disebabkan cekikan, Surita berkata saksi ke-18 (pakar forensik) menerangkan sekiranya si mati dicekik akan ada kesan lebam berbentuk bulat seperti hujung jari.

“Tiada retak tulang leher, tiada retak tulang rawan dan tiada pendarahan pada otot-otot leher, keadaan ini menandakan tiada daya yang kuat berlaku pada bahagian leher terbabit, selain itu tiada tanda yang boleh dikaitkan dengan penderaan seperti tiada lebam di seluruh badan dan tiada keretakan tulang pada badan,“ katanya dan menambah keterangan serta laporan forensik diterima oleh mahkamah sebagai satu keterangan yang kukuh.

Berkaitan persoalan pihak ketiga hadir ke taska itu, beliau memberitahu mahkamah tidak boleh membuat keputusan berdasarkan spekulasi semata-mata.

Beliau berkata berdasarkan keterangan saksi, bukti dan simulasi dikemukakan, mahkamah membuat keputusan bahawa kematian bayi itu disebabkan tekanan pada leher kerana tergantung dan terperangkap di dalam buaian yang sempit.

“Pada masa itu, si mati sudah boleh bertatih dan berdiri, maka munasabah untuk si mati berdiri di dalam buaian dan dijumpai tergantung dengan kepala terkeluar dari buaian,“ katanya.

Surita berkata saksi ke-19 (pengasuh) mengakui telah meninggalkan si mati selama dua jam tanpa pengawasan di dalam bilik bersama dua bayi lagi yang sedang tidur.

“Kegagalan membuat pengawasan dan pemantauan rapi merupakan satu kecuaian atau peninggalan yang mengakibatkan kematian, saksi terbabit juga mengakui telah meletakkan dan menidurkan si mati di dalam buaian sedangkan mengetahui penggunaan buaian di dalam taska adalah tidak selamat dan tidak dibenarkan.

“Saksi juga meninggalkan si mati dan dua bayi lagi di dalam bilik tertutup rapat walaupun mengetahui pintu bilik itu ketat dan sukar dibuka, saksi berkenaan telah cuai apabila gagal memberitahu atau menyembunyikan fakta daripada saksi ke-23 mengenai penggunaan buaian dalam waktu terdesak di taska itu,“ katanya.

Beliau berkata saksi ke-19 juga mengakui bertindak mencangkuk kain buaian kiri dan kanan supaya bayi itu tidak terjatuh dari buaian, situasi demikian menyebabkan pergerakan bayi menjadi terhad dan mengurangkan peluang si mati untuk melepaskan diri sekiranya terperangkap.

“Saksi itu gagal memastikan keselamatan si mati apabila menggunakan buaian spring yang rosak, diikat dengan kain lampin dan tali rafia, kain buaian juga lusuh dan terkoyak,“ katanya.