BANTING: Polis merampas enam jenis ubat-ubatan berbentuk pil dipercayai dari Jepun bagi membantu siasatan kes kematian isteri usahawan dan pempengaruh media sosial Abd Ridzuan Abdul Mutalib atau lebih dikenali Ridzokumura.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata ubat-ubatan yang dirampas dari rumah mangsa di Subang Jaya itu telah dihantar ke Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mengenal pasti jenis dan kegunaannya.
“Kita kena jumpa pakar ubat untuk kenal pasti apa ubatnya. Adakah ubat biasa atau ubat lain, selain kita juga akan jumpa ahli farmasi KKM untuk membantu.
“Kita juga akan minta bantuan melalui kedutaan Jepun sekiranya memerlukan (bantuan kenal pasti ubat yang diambil oleh mangsa),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas lawatan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ke premis e-sisa haram di Teluk Panglima Garang di sini hari ini.
Hussein ketika ditanya sama ada mangsa pernah menerima rawatan kemurungan berkata perkara berkenaan masih dalam siasatan.
Dalam pada itu, beliau berkata enam individu termasuk suami mangsa Abd Ridzuan dan anaknya telah diambil keterangan bagi membantu siasatan.
“Empat lagi individu adalah petugas hospital yang melakukan bedah siasat serta saksi awam yang hadir di tempat kejadian ketika mayat ditemui.
“Kes masih disiasat sebagai mati mengejut (SDR), selain turut melihat sama ada mangsa dalam kemurungan atau masalah perubatan,” katanya.
Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Wan Azlan Wan Mamat dilaporkan berkata mangsa berusia 50-an ditemukan meninggal dunia dalam keadaan meniarap di atas tanah oleh anggota polis peronda yang ke lokasi, selepas menerima panggilan kecemasan MERS 999.
Wan Azlan berkata pemeriksaan awal pada tubuh mangsa dan tempat kejadian mendapati tiada sebarang kecederaan daripada perlakuan jenayah.