KOTA KINABALU: Polis meminta orang ramai agar bertenang dan tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kematian pelajar Tingkatan Satu Zara Qairina Mahathir sementara menunggu hasil siasatan lanjut.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sabah sedang menjalankan siasatan menyeluruh berhubung insiden itu.
“PDRM Kontinjen Sabah akan menjalankan siasatan menyeluruh secara telus,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) di sini pada 11 tengah hari, 17 Julai lepas.
Pelajar itu dibawa ke hospital tersebut bagi mendapatkan rawatan selepas ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama itu pada 4 pagi, 16 Julai lepas.– Bernama