KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi sedang mengkaji untuk menggubal satu Akta Muzik bagi memastikan bidang seni itu mempunyai akta sendiri, sekali gus menjaga kebajikan golongan pemuzik.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata memandangkan penyanyi merupakan penyedia konten paling banyak bagi aspek penyiaran melibatkan medium radio dan televisyen, maka terdapat keperluan untuk meneliti akta berkenaan bagi memastikan kemampanan industri itu.

“Saya lihat ada beberapa perkara asas yang perlu diperkukuh, pertama aspek literasi iaitu pemahaman perundangan kerana ramai artis-artis baru, bila mereka menandatangani kontrak ramai tak faham apa maksud kontrak tu.

“Bila saya bercakap dengan contohnya penyanyi Kaka Azraf, kesan daripada beliau dibuang daripada label (syarikat rakaman) cukup besar.. termasuk lagu-lagu yang pernah beliau nyanyikan, dan kesannya juga kepada royalti dan sebagainya.

“Jadi saya lihat sekiranya kita ada akta itu sendiri untuk muzik, setidak-tidaknya aspek ini boleh diketengahkan dan boleh jadi lebih sustainable atau mampan,” katanya kepada pemberita selepas menziarahi penyanyi veteran Zaiton Sameon pada Program Ziarah Seni MADANI Finas 2024 di Ampang hari ini.

Terdahulu Fahmi turut menziarahi pelakon dan pengarah Salehudin Ridzwan atau lebih dikenali sebagai Din Glamor di kediamannya di Bukit Antarabangsa bagi program yang sama.

Beliau berkata pihak kementerian telah memulakan sesi libat urus dengan MyCreative Ventures sebagai agensi peneraju bagi mendapatkan cadangan tentang penggubalan akta itu, selain sebuah jawatankuasa program turut dibentuk bagi mempercepatkan proses kajiannya.

“Sebelum ini saya sudah terima sejumlah cadangan, tetapi cadangan ini mungkin boleh ditambah baik dengan penglibatan pihak industri dan akademik di pelbagai peringkat untuk fahamkan kementerian tentang aspek yang perlu ada dalam akta itu nanti,” katanya.

Mengulas tentang pengagihan royalti kepada pemuzik, menurutnya pihak kementerian telah mengadakan beberapa siri pertemuan dengan pihak-pihak yang berkepentingan dan antara langkah yang diambil adalah memastikan setiap kementerian yang memanfaatkan karya tempatan membuat bayaran royalti kepada pemuzik terlibat.

“Di pihak kementerian tahun lepas melalui semua saluran televisyen dan radio, kita telah kumpulkan jumlah yang perlu dibayar kepada semua terlibat.

“Saya juga telah sampaikan kepada kementerian lain, sekiranya mereka memanfaatkan artis tempatan, lagu-lagu, karya mereka dalam sebarang kempen dan untuk acara tertentu, sambutan hari tertentu, maka mereka perlu membuat bayaran itu dan kita akan selaraskan, maka jumlahnya akan lebih besar,” katanya.

Sementara itu ditanya mengenai tindakan Ketua Pemuda UMNO Dr Muhamad Akmal Saleh yang dilihat masih memainkan isu stoking tertera kalimah ‘Allah’, Fahmi berkata titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sudah jelas dan semua pihak perlu menghentikan polemik itu.

“Bagi yang beragama Islam, berbangsa Melayu, kedudukan Agong di paras tinggi, paling tinggi, bagi saya - mengingkari titah dan sengaja mentafsirkan (titah Seri Paduka Baginda) dalam cara yang lain, bagi saya kurang sesuailah,” katanya.

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image