KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi bersedia membantu menyelaras permohonan bantuan bulanan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi penggiat seni yang hilang upaya kekal dan memerlukan sokongan jangka panjang.
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata walaupun bantuan yang disediakan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) bersifat sekali beri, kementerian tetap komited memastikan kebajikan penggiat seni terbela melalui kerjasama dengan agensi berkaitan.
“Jika ada kes (penggiat seni) kecemasan seperti hilang upaya kekal yang memerlukan bantuan bulanan, kita tiada masalah bantu urus dengan JKM kerana itu bidang kuasa mereka. FINAS tetap boleh pertimbang usahakan permohonan untuk kes luar biasa seperti ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyantuni dua artis veteran, iaitu pelawak dan pelakon Sathia Periasamy, 61, atau lebih mesra dikenali Sathiya di Hospital Ampang dan anggota kumpulan Nico G, Mohd Shah Rosli, 50, atau lebih dikenali Dino di kediamannya di sini dalam program Ziarah Seni MADANI FINAS.
Turut hadir Pengerusi FINAS Datuk Hans Isaac, Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Azmir Saifuddin Mutalib dan Pengerusi Hal Ehwal Warga Industri, Kebajikan dan Data Industri Rozaidi Abd Jamil.
Sementara itu, Teo berkata seramai 163 penggiat seni telah menerima manfaat bantuan kebajikan menerusi program itu sejak 2024 termasuk bantuan sempena sambutan perayaan dari Januari hingga ke hari ini.
Sathiya yang cukup sinonim dengan watak Ravi dalam sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu sedang menerima rawatan di hospital selepas menjalani pembedahan memotong tiga bahagian di kaki kirinya termasuk ibu jari kaki akibat jangkitan kuman baru-baru ini.
Dino pula kini berehat di rumah selepas diserang angin ahmar di bahagian kanan badannya tiga minggu lepas ketika berada di tempat kerja sehingga terpaksa dikejarkan ke hospital.
Kedua-dua artis berkenaan menerima sumbangan tunai dan barangan keperluan asas bagi meringankan beban terhadap masalah kesihatan dan kewangan yang alami.
“Bantuan ini bukan sahaja daripada kementerian, tetapi juga dengan beberapa pihak untuk disalurkan kepada penggiat seni yang memerlukan sebagai tanda keprihatinan serta sokongan terhadap golongan seni yang banyak berjasa,” kata Teo - BERNAMA