• 2025-07-16 08:55 PM

PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan (MOT) melantik empat syarikat bagi melaksanakan Perkhidmatan Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM) khusus untuk pemeriksaan tukar hak milik (M.V.15) kenderaan persendirian.

Langkah ini bertujuan menambah pilihan perkhidmatan dan mengurangkan kesesakan di pusat pemeriksaan sedia ada.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke menjelaskan, sebelum ini pemilik kenderaan hanya mempunyai satu pilihan iaitu PUSPAKOM untuk pemeriksaan sebelum tukar milik.

“Dengan pembukaan pasaran baharu, orang awam boleh pergi ke mana-mana premis syarikat yang menawarkan perkhidmatan ini,“ katanya.

Empat syarikat terlibat ialah Carro Technology Sdn Bhd, Carsome Academy Sdn Bhd, Wawasan Bintang Sdn Bhd dan Beriman Gold Sdn Bhd.

Mereka diberi tempoh 12 bulan untuk memenuhi syarat termasuk modal berbayar minimum RM1 juta, pemilikan tempatan, dan penyediaan infrastruktul lengkap.

Loke menekankan bahawa pembukaan lebih banyak PPKM akan meningkatkan persaingan sihat dan kualiti pemeriksaan kenderaan.

“Ini selaras dasar kerajaan beralih daripada sistem konsesi pemain tunggal kepada pelesenan berbilang pemain,“ ujarnya.

Beliau turut menyatakan kemungkinan mewajibkan pemeriksaan motosikal sebelum tukar milik pada masa depan setelah kemudahan diperbaiki. – Bernama