KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan bersiap siaga untuk melaksanakan sebarang arahan kerajaan berhubung misi membawa pulang rakyat Malaysia dari Iran susulan ketegangan yang kian memuncak antara negara itu dan Israel.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata urusan berkenaan lazimnya dikendalikan oleh Kementerian Luar termasuk pertimbangan terhadap aspek keselamatan dan kaedah yang sesuai kerana tidak semua pesawat boleh memasuki ruang udara negara itu.
“Kita belum ada terima arahan mengenai perkara itu, yang biasanya dikelolakan oleh Kementerian Luar dan bagaimana cara... Saya percaya mereka sedang memikirkannya.
“Saya kata mungkin belum melibatkan Kementerian Pertahanan. Setakat ini kita sedia menerima apa-apa arahan daripada kerajaan apabila keputusan dibuat,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi Tentera ke-59 di Wisma Perwira ATM di sini hari ini.
Mohamed Khaled berkata penggunaan aset ketenteraan untuk misi seumpama itu tidak semestinya menjadi pilihan utama kerana dikhuatiri menimbulkan salah tafsir berkaitan kehadiran tentera Malaysia.
“Dalam konteks ini, kapal terbang tentera adalah lebih baik tidak masuk sebab nanti ingat tentera datang hendak bantu,” katanya.
Semalam, jurucakap Kerajaan MADANI Datuk Fahmi Fadzil dilaporkan berkata proses membawa keluar rakyat Malaysia yang berada di Iran dijangka dilaksanakan Jumaat ini.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata antara persiapan yang sedang dilakukan ialah penyediaan visa perjalanan.
Konflik antara Iran dan Israel memuncak sejak Jumaat lepas susulan serangan udara tanpa provokasi oleh rejim Zionis itu ke atas wilayah Iran dan sebagai tindak balas, Iran melancarkan peluru berpandu balistik ke beberapa lokasi di Israel.
Sebelum ini, Wisma Putra menyeru semua rakyat Malaysia yang berada di Iran agar meninggalkan negara itu serta-merta, susulan keadaan tidak menentu dan berisiko bertambah buruk tanpa sebarang amaran awal.
Sementara itu, mengulas mengenai keselamatan anggota Pasukan Pengaman Malaysia (MALBATT) di Lubnan susulan ketegangan membabitkan Iran dan Israel, Mohamed Khaled menegaskan kedudukan mereka masih selamat.
“Kita memang sentiasa ada hubungan berterusan (dengan pasukan di Lubnan). Kalau ada apa-apa, tentunya kita akan dimaklumkan dan akan ambil tindakan yang sewajarnya,” katanya.