KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan komitmen kerajaan untuk memperkasa kedudukan Islam selaras dengan Perlembagaan dan semangat Malaysia MADANI.
Beliau menekankan usaha ini dilaksanakan melalui kerjasama erat antara institusi Raja dan kerajaan.
Dalam hantaran di Facebook, Anwar yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) berkata, mesyuarat MKI berperanan penting menyelaras hal ehwal Islam di peringkat kebangsaan.
“Ini termasuk memperkukuh pembangunan insan berteraskan ihsan, adab, dan ilmu bagi mencapai Karamah Insaniah,“ jelasnya.
Beliau hadir MKI ke-73 yang dipengerusikan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah.
Turut serta Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, serta wakil negeri dan pakar dilantik.