KUALA LUMPUR: Kerajaan mengumpulkan sumber berjumlah RM470 bilion untuk Belanjawan 2026 dengan mengutamakan daya tahan ekonomi dan sokongan kepada perniagaan kecil.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan belanjawan bertemakan Belanjawan MADANI Keempat: Belanjawan Rakyat di Parlimen hari ini.
Angka RM470 bilion itu meningkat berbanding RM452 bilion tahun sebelumnya dan meliputi pelbagai komponen perbelanjaan.
Belanjawan ini merangkumi RM338.2 bilion belanja mengurus Persekutuan dan RM81 bilion belanja pembangunan Persekutuan.
Pelaburan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) menyumbang RM30 bilion manakala pelaburan awam-swasta bernilai RM10 bilion.
Pelaburan badan berkanun Persekutuan dan syarikat MKD pula berjumlah RM10.8 bilion.
“Mengangkat tema Belanjawan MADANI Keempat: Belanjawan Rakyat—setelah berani mengusung reformasi, kini masa memulangkan hasil kepada rakyat,” kata Anwar.
Belanjawan 2026 merupakan Belanjawan MADANI keempat dan yang pertama di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (2026-2030).
Kerajaan memberi keutamaan terhadap pelaburan strategik berpertumbuhan tinggi seperti semikonduktor, peralihan tenaga dan digital.
Status ASEAN Business Entity (ABE) akan diperkenalkan untuk memudahkan urusan para pelabur.
Skim Insentif Pejabat Keluarga Tunggal diwartakan untuk Zon Kewangan Khas Forest City.
Investor Pass diterajui MIDA menyediakan kemudahan Visa Kemasukan Berbilang sehingga 12 bulan kepada pelabur asing.
Residence Pass–Talent Fast Track akan diteruskan untuk menarik bakat antarabangsa.
Dana padanan berjumlah RM200 juta disediakan kepada PKS dan syarikat pertengahan melalui Dana Pelaburan Bersama Strategik.
Khazanah dan KWAP melabur sebanyak RM550 juta dalam ekosistem semikonduktor.
BPMB menyediakan pinjaman RM500 juta bagi menyokong aktiviti nilai tambah tinggi di bawah Strategi Semikonduktor Nasional.
GLIC terus memangkin pelaburan domestik serta memperkukuhkan ekosistem pemula niaga dalam negara.
Kecekapan sektor logistik ditingkatkan untuk aktiviti ekonomi lebih pantas dan kos efisien.
Pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) membina keyakinan pelabur terhadap Johor.
JS-SEZ merekodkan pelaburan diluluskan RM37.1 bilion untuk separuh pertama 2025.
Zon Ekonomi Sempadan Khas Bukit Kayu Hitam menerima pelaburan RM2.7 bilion.
Kerajaan memberi keutamaan kepada penghasilan kecerdasan buatan dan aktiviti penyelidikan, pembangunan, komersial dan daya cipta.
Potongan cukai tambahan 50 peratus diberikan kepada PMKS bagi perbelanjaan kos latihan berkaitan AI dan keselamatan siber.
Sovereign AI Cloud akan dibina oleh SKMM dengan pelaburan RM2 bilion.
Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara menetapkan sasaran 70 peratus kapasiti penjanaan elektrik daripada sumber tenaga boleh baharu menjelang 2050.
GLIC dan GLC menggerakkan pelaburan bernilai RM16.5 bilion untuk tahun 2026.
Cukai Karbon diperkenalkan mulai tahun hadapan dengan tumpuan awal kepada sektor besi, keluli dan tenaga.
Mekanisme Cukai Karbon akan diselaras dengan Dasar Pasaran Karbon Kebangsaan dan RUU Perubahan Iklim Negara.
Pelepasan cukai pendapatan individu sebanyak RM2,500 diperluas untuk pembelian mesin rincih sisa makanan.
GLIC dan GLC melabur RM40 juta untuk mempercepat proses peningkatan skala syarikat Bumiputera berpotensi tinggi.
Ekuinas akan membangunkan syarikat pelaburannya sehingga dapat disenaraikan dan diambil alih oleh PNB.
Kerajaan menambah tanah Rizab Melayu seluas 50 ekar di Bandar Malaysia.
Petronas sedang merencana pelan pembangunan Bandar Malaysia dan akan memulakan fasa pembangunan menjelang akhir 2026.
Lapangan Terbang Subang dan kawasan sekitar dikembangkan untuk industri aeroangkasa.
KWAP menyediakan RM20 juta untuk program pembiayaan mikro bagi pesara.
Sebanyak RM60 juta dana bersama kerajaan dan industri disediakan bagi produk insurans asas mampu milik.
Pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM3,000 diperluas bagi meliputi anak untuk premium insurans nyawa.
Kecekapan LRT Laluan Kelana Jaya ditingkatkan melalui penggantian 26 unit tren baharu dengan kos RM1 bilion.
LRT3 dijangka beroperasi akhir 2025 dan menghubungkan Bandar Utama ke Johan Setia.
ECRL Fasa 1 Kota Bharu-Gombak dijangka siap akhir 2026 dan mengurangkan masa perjalanan Kelantan ke Lembah Klang.
Pengecualian duti setem sepenuhnya untuk pembelian rumah pertama berharga sehingga RM500,000 dilanjutkan sehingga 31 Disember 2027.
Duti setem pada kadar rata daripada empat kepada lapan peratus dikenakan ke atas surat cara pindah milik rumah kediaman oleh individu bukan warganegara.
Pembentangan Belanjawan 2026 mengambil masa dua jam dan menandakan peralihan daripada proses reformasi kepada era transformasi.– Bernama