Your Title

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan melaksanakan beberapa acara lain bersempena dengan Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 Sultan Ibrahim, yang dijadual berlangsung di Istana Negara pada 20 Julai.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata antara acara berkenaan ialah Majlis Bacaan Yasin dan Doa Selamat di Masjid Negara, di sini pada 18 Julai.

“Khutbah khas dan solat Jumaat pada 19 Julai, juga di Masjid Negara. Pameran Raja Kita pada 25 Julai, bertempat di Muzium Negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.

Dalam pada itu, Fahmi menzahirkan rasa rendah diri dan amat berbesar hati kerana dapat mengiringi Sultan Ibrahim, yang telah berkenan mempersembahkan warkah persilaan ke Istiadat Pertabalan Baginda kepada Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah di Istana Nurul Iman, Bandar Seri Begawan, Brunei, hari ini.

Sultan Ibrahim telah melafaz dan menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Jan.