KUALA LUMPUR: Malaysia mengekalkan kedudukannya sebagai pengeksport gas asli cecair (LNG) kelima terbesar pada 2023, selepas Rusia, Qatar, Australia dan Amerika Syarikat.

Menurut laporan tahunan ke-15 World LNG Report 2024 yang dikeluarkan oleh Kesatuan Gas Antarabangsa (IGU) hari ini, jumlah eksport LNG Malaysia pada 2023 ialah sebanyak 26.75 juta tan (MT), membentuk kira-kira tujuh peratus daripada jumlah LNG yang diniagakan di seluruh dunia.

“Medan gas Kasawari di Malaysia dengan kapasiti karbon dioksida (CO2) sebanyak 3.7 juta tan setahun (MTPA) disenaraikan sebagai salah satu projek penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon berkaitan LNG, dengan kemudahan penangkapan karbon yang memperoleh CO2 dari huluan atau komponen pencecairan projek LNG sebagai satu lagi langkah pengurangan pelepasan.

“Secara global, Malaysia merupakan sebagai salah satu kapasiti pencecairan terbesar yang beroperasi pada 32 MTPA di antara 21 pasaran yang mengendalikan kemudahan eksport LNG,” kata laporan itu.

Laporan itu juga menunjukkan rantau Asia Pasifik adalah pengeksport tertinggi, dengan jumlah sebanyak 134.80 MT.

“Rantau ini juga kekal sebagai pengimport terbesar dengan 155.32 MT untuk LNG, yang mana perdagangan dalam kalangan negara-negara serantau sebanyak 95.0 MT pada 2023,” tambahnya.

Presiden Kesatuan Gas Antarabangsa Li Yalan berkata ketika dunia menuju ke arah masa depan yang mengamalkan pelepasan rendah, banyak negara mencari jalan untuk mencapai komitmen iklim mereka sambil memastikan tenaga yang mampu milik, tersedia dan selamat.

“LNG ialah komoditi yang penting untuk menyediakan daya tahan yang lebih besar bagi sistem tenaga yang berubah dengan pantas di seluruh dunia, dan ia mempunyai peranan penting dalam mengurangkan risiko ketidakpastian yang wujud melalui proses itu,“ katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Gas Malaysia (MGA) Abdul Aziz Othman berkata pihaknya mengiktiraf peranan penting LNG yang akan ditekankan dalam pelan hala tuju peralihan tenaga Malaysia, yang menjangka permintaan gas meningkat daripada 43 peratus kepada 56 peratus menjelang 2050.

“Unjuran kenaikan ini menekankan perlunya untuk pemain industri LNG bersedia sepenuhnya bagi memenuhi jangkaan yang semakin meningkat,“ katanya.

Beliau berkata pada masa hadapan, MGA sangat menyokong aspirasi kerajaan untuk pasaran gas yang diliberalisasi sepenuhnya, termasuk sektor tenaga.

“Kami percaya langkah sedemikian akan meningkatkan keselamatan bekalan tenaga dan memupuk persekitaran pasaran yang lebih cekap yang akhirnya memberi manfaat kepada pengguna Malaysia,” tambahnya.