PUTRAJAYA: Kerajaan sedang melaksanakan kajian menyeluruh berhubung isu sosial yang berlaku di sekolah.
Jurucakap Kerajaan MADANI Datuk Fahmi Fadzil berkata kajian terbabit dijalankan oleh sebuah jawatankuasa khas dan laporannya akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi menyatakan laporan itu akan disediakan dalam masa terdekat untuk tindakan lanjut.
Fahmi turut mengumumkan Jemaah Menteri bersetuju meningkatkan kehadiran anggota polis di sekolah.
Kehadiran anggota PDRM akan memberikan isyarat bahawa sekolah merupakan tempat yang selamat.
Kementerian Dalam Negeri akan mengeluarkan kenyataan penuh berhubung perkara tersebut tidak lama lagi.
Fahmi menambah Kementerian Pendidikan akan mengumumkan ketetapan pemeriksaan rambang di sekolah secara lebih kerap.
KPM akan mengeluarkan panduan kepada sekolah untuk melaksanakan spot check secara mingguan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Jemaah Menteri mencadangkan polis serta KDN mempertingkatkan pemantauan keselamatan di sekolah.
Beliau menyatakan mesyuarat Kabinet hari ini memberikan tumpuan kepada soal pendidikan dan masalah disiplin di sekolah.
Kerisauan ramai termasuk keluarga, ibu bapa serta pelajar turut diberi perhatian serius.
Negara baru-baru ini digemparkan dengan beberapa insiden tragis yang berlaku di sekolah.
Kes tersebut termasuk seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun yang ditikam sehingga maut oleh pelajar lelaki berusia 14 tahun di sebuah sekolah menengah di Selangor.
Insiden lain melibatkan kes rogol bergilir-gilir membabitkan empat pelajar lelaki tingkatan lima dan seorang pelajar perempuan tingkatan tiga di Melaka. – Bernama