GUA MUSANG: Kerajaan Negeri Kelantan didakwa telah meluluskan penerokaan baharu hutan seluas 13,354.6 hektar kawasan hutan di Gua Musang sejak 2022.

Timbalan Ketua UMNO Gua Musang Mohd Syahbuddin Hashim mendakwa ia berdasarkan kelulusan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) Jabatan Alam Sekitar (JAS).

“Keluasan yang terlibat adalah melebihi 33,000 ekar (13,354.6 hektar) kawasan hutan di Gua Musang dan kebanyakan penerokaan ini melibatkan kawasan hutan Ulu Nenggiri, Mukim Bertam,” katanya kepada pemberita pada sidang media di sini hari ini.

Mohd Syahbuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas itu mendakwa terdapat beberapa percanggahan dalam kelulusan yang diberikan termasuk bagi Projek Ladang Hutan seluas 202 hektar yang dianugerahkan kepada syarikat berusia kurang setahun.

Syarikat itu dakwanya bukan milik rakyat Kelantan mahupun Bumiputera Kelantan.

Beliau yang juga Timbalan Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri meminta kerajaan negeri memberikan penjelasan kepada rakyat di Kelantan berhubung perkara berkenaan.

“Sudah 34 tahun rakyat di Nenggiri terpaksa menanggung kemusnahan alam sekitar terutamanya kaum Orang Asli manakala hasilnya diperoleh kerajaan negeri dan penerima pajakan atau projek tanpa ada pulangan wajar kepada rakyat Nenggiri,” katanya.

Mohd Syahbuddin berkata pemimpin PAS Kelantan tidak perlu bercerita mengenai pembangunan di Gua Musang kerana kerajaan Persekutuan melalui Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) telah melakukan yang terbaik untuk membangunkan Gua Musang.

“Setiap kali Bajet Negeri Kelantan daerah Gua Musang sering ditinggalkan dalam kebajikan contohnya, Rumah Mampu Milik Kerajaan Negeri. Gua Musang terutamanya Nenggiri seolah-olah hanya dijadikan mesin ‘ATM’ Kerajaan Negeri Kelantan untuk dapatkan dana dari tauke pembalakan tanpa ada manfaat kepada rakyat Nenggiri,” katanya.

Pada Sabtu, PAS menafikan dakwaan mengatakan Kerajaan Negeri Kelantan memberikan pajakan tanah termasuk kawasan pembalakan kepada orang asing.

PRK DUN Nenggiri yang ditetapkan pada 17 Ogos menyaksikan pertembungan satu lawna satu antara calon BN, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani mewakili Kerajaan Perpaduan dan wakil Perikatan Nasional (PN) Mohd Rizwadi Ismail yang bertanding menggunakan logo PAS.