GEORGE TOWN: Kerajaan negeri digalakkan untuk menggubal undang-undang menyerupai Akta Perkongsian Data 2024 yang berkuat kuasa hari ini bagi memperluas usaha perkongsian data di seluruh negara.

Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata akta tersebut membolehkan perkongsian data antara agensi kerajaan Persekutuan dan pada masa sama membuka jalan kepada perkongsian ekosistem data yang lebih besar melibatkan kerajaan Persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Beliau berkata akta berkenaan, yang diluluskan di Parlimen pada Disember lepas, merupakan satu pencapaian besar kerana buat pertama kalinya wujud mekanisme perundangan yang membolehkan data dikongsi antara jabatan dan agensi di peringkat Persekutuan.

“Jadi kita berharap di peringkat kerajaan-kerajaan negeri juga akan menggubal akta yang sama bagi membolehkan perkongsian data turut dapat dilaksanakan antara agensi serta jabatan di peringkat kerajaan negeri,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Pusat Operasi Pintar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) di Komtar di sini, hari ini.

Gobind berkata ketika ini, Akta Perkongsian Data 2024 hanya terpakai di peringkat kementerian serta agensi Persekutuan dan belum melibatkan kerajaan negeri atau PBT, namun jika semua agensi kerajaan Pusat dan negeri mempunyai mekanisme seragam, ia akan membentuk satu ekosistem data nasional yang kukuh.

Beliau berkata menerusi akta itu, permintaan untuk data boleh dibuat mengikut prosedur yang ditetapkan dan akan dipertimbangkan oleh sebuah jawatankuasa khas yang diketuai Ketua Setiausaha Kementerian Digital.

Katanya jika permohonan tersebut memenuhi kriteria yang ditetapkan, data berkenaan akan diluluskan untuk dikongsi namun tertakluk kepada pematuhan peraturan keselamatan dan privasi.

“Proses permohonan data termasuk siapa yang berhak memohon, untuk tujuan apa, serta bagaimana data tersebut akan digunakan perlu dijelaskan oleh pemohon data. Kalau data diberikan untuk satu tujuan ia tidak boleh digunakan untuk tujuan lain tanpa kebenaran,” katanya.

Mengenai isu keselamatan dan privasi data, beliau berkata undang-undang sedia ada seperti Akta Perlindungan Data Peribadi akan terus terpakai dan langkah tambahan akan diambil untuk memastikan keselamatan data terjamin.

Gobind berkata usaha mewujudkan Akta Perkongsian Data di peringkat pusat dan negeri merupakan asas penting dalam perancangan masa depan untuk memperluas penggunaan teknologi dalam pentadbiran kerajaan di seluruh negara.

Katanya langkah awal mewujudkan akta itu peringkat Pusat dan negeri akan menjadi asas kepada perancangan masa depan untuk memperluas penggunaan teknologi dalam pentadbiran kerajaan di seluruh negara.