SHAH ALAM: Kerajaan Selangor menggalakkan penyedia perkhidmatan transit responsif atas permintaan (DRT) meneruskan perkhidmatan itu sehingga hujung tahun ini dengan mengekalkan kadar RM2 untuk satu perjalanan.

Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti negeri Ng Sze Han berkata ia bagi memastikan orang ramai di lapan zon sedia ada terus menikmati kemudahan itu selepas tempoh pembuktian konsep (POC) projek rintis di bawah program Selangor Mobility itu tamat hari ini.

Beliau berkata projek bermula November 2023 itu akan diperhalusi dengan kaedah bersesuaian dan berhemah supaya rakyat Selangor terus mendapat manfaat dari kemudahan perkhidmatan DRT.

“Sepanjang tempoh projek rintis ini, syarikat penyedia perkhidmatan DRT yang dilantik telah beroperasi di lapan zon yang telah ditetapkan bagi tujuan pengumpulan data penumpang dan trend penggunaan perkhidmatan DRT.

Jawatankuasa Tetap Mobiliti Negeri Selangor seterusnya akan melaksanakan kajian terperinci terhadap dapatan pelaksanaan projek rintis sebelum membentangkan laporan kajian itu dan mencadangkan pelaksanaan penuh perkhidmatan DRT kepada Pihak Berkuasa Negeri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ng berkata sepanjang pelaksanaan projek rintis itu, pihaknya menerima maklum balas positif mengenai perkhidmatan DRT selain mendapat permintaan agar ia diteruskan.

Beliau berkata kerajaan negeri turut menerima permohonan untuk memperluaskan perkhidmatan DRT supaya dapat membantu agenda pemerkasaan pengangkutam awam di Selangor.

Sebelum ini, Ng dilaporkan berkata kerajaan Selangor bakal memperkenalkan sistem van DRT bagi menggantikan kemudahan Bas Smart Selangor di kawasan berkepadatan tinggi dan laluan sempit pada tahun ini.

Sistem van DRT itu bertujuan meningkatkan penggunaan pengangkutan awam yang utama seperti rel dan bas, kata Ng.