• 2025-09-03 10:20 PM

IPOH: Kerajaan Negeri Perak mengambil tanggungjawab sepenuhnya susulan insiden seorang wanita cuba mendekati Sultan Perak Sultan Nazrin Shah sewaktu sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Perak.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad menegaskan bahawa pihaknya tidak akan menuding jari kepada mana-mana pihak memandangkan kejadian itu berlaku di luar jangkaan dan dalam tempoh yang sangat singkat.

Beliau menyifatkan insiden itu sebagai ‘wake up call’ kepada sesiapa sahaja yang perlu peka mengenai isu keselamatan tidak semestinya dihadiri orang kenamaan.

Saarani menyatakan rasa kagum terhadap sikap tenang yang ditunjukkan Sultan Nazrin kerana terus berada di pentas sehingga selesai.

“Tuanku masih berdiri, menerima tabik hormat, berjalan seperti yang dirancang, malah selepas itu beramah mesra dengan rakyat,“ katanya.

Dalam perkembangan lain, Saarani memaklumkan satu laporan polis telah dibuat mengenai kewujudan akaun media sosial palsu yang menggunakan wajah dan suaranya menerusi teknologi kecerdasan buatan.

Beliau berkata pihaknya turut menyerahkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk tindakan selanjutnya.

Saarani menasihati orang ramai supaya tidak terperdaya dengan kewujudan akaun TikTok palsu berkenaan yang menggunakan gambar dan suara beliau melalui AI dengan menawarkan wang tunai. – Bernama