MELAKA: Kerajaan sedang mempertimbangkan cadangan untuk menubuhkan Suruhanjaya Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) selaras dengan agenda transformasi TVET yang sedang giat dilaksanakan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata cadangan itu dikemukakan susulan pencapaian memberangsangkan pembangunan TVET di bawah Majlis TVET Negara yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, termasuk peningkatan jumlah pelajar yang menyertai program berkenaan.

“Saya menghargai peranan Majlis TVET, namun sebagai pihak yang turut memantau secara langsung perkembangan semasa, terdapat cadangan yang wajar dipertimbangkan, termasuk menjadikan TVET sebagai sebuah suruhanjaya. Kita akan lihat sejauh mana cadangan ini boleh dilaksanakan dalam masa terdekat berdasarkan perubahan yang sedang berlaku.

“Bayangkan jumlah pelajar dan jenis latihan yang semakin bertambah. Saya dan Kementerian Kewangan akan meneliti keperluan agar kemudahan TVET diberikan keutamaan, sama ada dari segi kelengkapan mesin, bentuk latihan, kepakaran, dan bagaimana sinergi antara syarikat berkaitan kerajaan serta sektor swasta dapat diperkukuh bersama institusi TVET sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Sambutan Hari TVET Negara 2025 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, di sini hari ini.

Turur hadir Ahmad Zahid, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Anwar berkata TVET merupakan agenda pembangunan negara yang penting dalam melahirkan tenaga kerja terlatih, berkualiti dan memenuhi keperluan industri masa hadapan.

Sehubungan itu, beliau berpandangan bahawa lulusan TVET wajar menerima gaji permulaan yang lebih baik, selaras dengan kemahiran yang mereka miliki.

“Dulu kita tetapkan gaji minimum RM1,700, tetapi kalau ada bidang pekerjaan TVET yang mencatat kebolehpasaran hingga 98 peratus, gaji sebanyak itu dilihat tidak mencukupi. Justeru, kita mahu menaikkan kadar gaji permulaan kepada RM3,000, sekiranya boleh.

“Langkah ini penting supaya kepakaran yang dimiliki lulusan TVET dihargai dan diterima syarikat-syarikat multinasional serta tempatan,” katanya.

Pada majlis sama, Anwar turut mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM40 juta kepada Majlis TVET Negara dan RM10 juta kepada kerajaan Melaka, khusus bagi memperkasa pembangunan keusahawanan TVET.

“Anak-anak perlu memanfaatkan peluang ini untuk menyumbang kepada pembangunan negara. Jika kita lihat negara jiran atau negara membangun lain, tidak banyak yang mampu melaksanakan perubahan dengan begitu pantas dalam mengangkat kedudukan TVET sebagaimana dilakukan Malaysia.

“Kalau anak-anak beritahu ibu bapa, inilah Malaysia, satu-satunya negara yang memberi dukungan serta peruntukan bukan sahaja kepada pelajar TVET, tetapi juga kepada anak-anak huffaz,” katanya.

Sambutan Hari TVET Negara 2025 bertemakan ‘TVET Pilihan Utama Kerjaya’ menampilkan sembilan konsep pameran mengikut sektor utama iaitu: Pengangkutan dan Automotif; Aeroangkasa; Elektronik dan Digital; Pembuatan Termaju; Tenaga; Rel dan Maritim; Perladangan, Pertanian dan Penternakan; Pembinaan; serta Perkhidmatan.

Acara selama tiga hari yang bermula semalam dan berakhir esok itu menawarkan kira-kira 5,000 peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang menerusi penyertaan lebih 60 syarikat dan majikan dari dalam dan luar Melaka.

Sebanyak 12 kementerian terlibat dalam penganjuran sambutan tersebut termasuk Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Sumber Manusia serta Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Hari TVET Negara, yang disambut pada 2 Jun setiap tahun, merupakan manifestasi komitmen dan iltizam kerajaan untuk menjadikan bidang itu sebagai platform utama dalam melahirkan tenaga kerja masa depan yang dinamik, berkemahiran serta berdaya saing.

Dialog Dasar Serantau Majlis TVET ASEAN ke-4 (ATC 4th RPD) selama dua hari bermula semalam turut diadakan bersempena sambutan Hari TVET Negara 2025.